INDUSTRI penanaman tembakau di daerah Ranau berpotensi terus berkembang dengan 44.5 hektar kawasan tanaman yang diusahakan 118 pekebun tempatan, sekali gus menjana pendapatan hampir RM2 juta setahun.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, hasil tembakau hiris dan cerut yang dikeluarkan pekebun tempatan ketika ini dibeli pemborong sebelum dipasarkan ke seluruh negeri Sabah.

Beliau berkata, potensi industri itu boleh dipertingkatkan menerusi penekanan terhadap kualiti hasil, penggunaan teknologi penanaman moden dan peluasan rangkaian pasaran.
“Potensi ini amat besar sekiranya diurus dengan baik, dengan penekanan kepada kualiti hasil, teknologi penanaman moden, dan rangkaian pasaran yang lebih luas,” katanya ketika berucap pada lawatan kerja ke kawasan tanaman tembakau di Ranau hari ini.
Noraini berkata, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sentiasa terbuka untuk berkongsi kepakaran teknikal, penyelidikan serta pembangunan industri bagi membantu memajukan sektor tembakau di Sabah.
Bagaimanapun, beliau berkata, kawal selia penanaman, pengeluaran dan pemasaran tembakau serta keluaran tembakau di Sabah berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, berbeza dengan Semenanjung Malaysia yang dikawal selia KPK dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN).
Katanya, fungsi KPK dan LKTN dalam mengawal selia sektor berkenaan di Semenanjung adalah berdasarkan Akta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2009 (Akta 692).
“Walaupun kawal selia penanaman, pengeluaran dan pemasaran tembakau serta keluaran tembakau di Sabah berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, Kementerian sentiasa terbuka untuk berkongsi kepakaran teknikal, penyelidikan dan pembangunan industri agar sektor ini dapat dimajukan secara mampan,” katanya.
Menurut Noraini, sehingga 31 Ogos lalu, penanaman tembakau hiris di Semenanjung Malaysia melibatkan 170 penanam dengan keluasan keseluruhan 103.7 hektar di Kelantan, Perak dan Negeri Sembilan.
Jumlah pengeluaran direkodkan sebanyak 78.32 tan dengan harga purata RM20 sekilogram, memberikan nilai hasil RM1.56 juta.
Dari aspek perdagangan pula, beliau berkata, nilai eksport produk tembakau mencecah RM150.40 juta, manakala import tembakau dan produk tembakau bernilai RM427 juta.
Noraini berkata, kerajaan tidak lagi menyalurkan bantuan dan insentif kepada penanam tembakau selaras dengan komitmen kerajaan terhadap Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengenai Kawalan Tembakau (WHO-FCTC).
Namun katanya, kerajaan melalui agensi berkaitan kekal komited menyediakan khidmat nasihat, kawal selia tanaman dan keluaran tembakau serta memastikan pematuhan terhadap peruntukan Akta 692.
Beliau berharap industri penanaman tembakau di Ranau terus berkembang dan memberikan pulangan menguntungkan kepada pengusaha, selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.
“Saya berharap industri penanaman tembakau di daerah Ranau akan terus berkembang maju, memberi pulangan yang menguntungkan kepada para pengusaha, dan seterusnya menyumbang kepada ekonomi tempatan.
“Semoga dengan kerjasama erat antara kerajaan negeri, agensi Persekutuan serta komuniti setempat, kita mampu menjadikan Ranau sebagai contoh kejayaan pembangunan pertanian berasaskan komoditi di Sabah,” katanya.
Noraini berkata, kerjasama strategik antara kerajaan negeri, agensi Persekutuan dan komuniti setempat perlu terus diperkukuh bagi memastikan potensi sektor tembakau di Ranau dapat dimanfaatkan secara mampan.





