PRN Negeri Sembilan: Ahmad Samsuri sahkan beri kebenaran rundingan PN-BN

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan dakwaan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Pas berunding dengan Barisan Nasional (BN) berhubung kerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tanpa berbincang dengan parti komponen lain.

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas berkata, beliau sendiri memberi kelulusan kepada rundingan awal dengan BN mengenai kerjasama PRN yang akan diadakan pada 1 Ogos depan.

Beliau berkata, keputusan itu juga sudah dimuktamad dan diluluskan Majlis Tertinggi PN pada mesyuarat khas yang diadakan hari ini.

“Merujuk kepada kenyataan Presiden Bersatu semalam, adalah dimaklumkan bahawa segala proses perbincangan dan libat urus dengan mana-mana pihak di peringkat awal telah dijalankan di dalam pengetahuan dan kebenaran daripada saya selaku Pengerusi PN.

“Ianya telah pun dimuktamadkan dan diluluskan oleh Majlis Tertinggi PN pada mesyuarat hari ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook hari ini.

Muhyiddin semalam mengecam Pas kerana berunding dengan BN berhubung kerjasama pada PRN Negeri Sembilan tanpa berbincang atau melibatkan parti komponen lain, termasuk Majlis Tertinggi PN.

Dakwa Muhyiddin, Bersatu kecewa dengan keputusan bersendirian dibuat Pas kerana tindakan itu bertentangan kepentingan PN.

Bersatu turut mengumumkan semalam yang parti itu akan bertanding PRN Negeri Sembilan menggunakan logo sendiri, dengan Muhyiddin memaklumkan beberapa parti lain turut menyatakan minat untuk bertanding menggunakan lambang Bersatu.

Pas memutuskan hubungan politik dengan Bersatu bulan lalu, namun kedua-dua parti masih kekal sebagai komponen PN dan bertanding bawah logo gabungan itu dalam PRN Johor yang berlangsung 11 Julai lalu.

Bagaimanapun, Pas tidak membantu kempen Bersatu sepanjang pilihan raya tersebut malah parti itu turut mengarahkan ahli dan penyokongnya supaya menyokong BN di kawasan tidak ditandingi PN, satu tindakan yang menurut Muhyiddin tidak pernah mendapat kelulusan Majlis Tertinggi PN.

Ahmad Samsuri dalam pada itu memaklumkan mesyuarat khas Majlis Tertinggi PN hari ini meluluskan rundingan pembahagian kerusi bagi PRN Negeri Sembilan.

Katanya, mesyuarat itu turut meluluskan penggunaan lambang PN oleh semua calon gabungan berkenaan pada PRN Negeri Sembilan, seperti yang dipersetujui sebelum ini.

“Keputusan itu dibuat selepas proses perbincangan dan libat urus bersama parti-parti komponen PN dimuktamadkan dalam mesyuarat berkenaan,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, penyertaan calon-calon PN pada PRN Negeri Sembilan bukan sekadar bertanding bagi merebut kerusi, sebaliknya bertujuan membela kebajikan rakyat, mengangkat agenda pembangunan negeri serta memperkukuh keharmonian masyarakat majmuk.

Beliau turut menegaskan, PN komited membawa agenda yang diyakini mampu memberi manfaat kepada Negeri Sembilan khususnya dan negara.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img