KERAJAAN memutuskan untuk melanjutkan pelaksanaan Program Repatriasi Migran (PRM) 2.0 bermula 1 Mei ini hingga 31 Mei 2027 susulan keberkesanan pelaksanaannya dalam menguruskan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Zakaria Shaaban berkata, keputusan itu dibuat selepas program berkenaan mencatatkan pencapaian signifikan termasuk kadar pendaftaran tinggi serta penghantaran pulang secara sukarela yang konsisten.
“Bermula dari 19 Mei 2025 hingga 29 April 2026, PRM 2.0 telah merekodkan sebanyak 254,186 pendaftaran melibatkan PATI daripada 112 negara, dengan jumlah kutipan hasil bernilai RM127 juta.
“Ia sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan pematuhan sukarela dalam pengurusan migrasi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, program itu merupakan mekanisme bagi membolehkan PATI pulang ke negara asal secara sukarela tanpa dikenakan pendakwaan, tertakluk kepada syarat ditetapkan.
Di bawah program berkenaan, individu terbabit dikenakan kompaun RM500 bagi kesalahan memasuki atau tinggal tanpa pas sah, manakala RM300 bagi kesalahan melanggar syarat pas.
Selain itu, pemohon turut dikenakan bayaran Pas Khas sebanyak RM20 sebagai dokumen sementara bagi melengkapkan urusan penghantaran pulang.
Menurutnya, pelanjutan program itu bertujuan memperluas pematuhan sukarela dalam kalangan PATI selain mempercepatkan proses penghantaran pulang secara tersusun.
Dalam masa sama, JIM akan terus memperhebat tindakan penguatkuasaan melalui operasi bersepadu, risikan dan pemantauan di seluruh negara.
“Langkah ini bagi mengesan, menangkap, mendakwa dan menghantar pulang individu yang melanggar undang-undang imigresen termasuk majikan atau pihak yang melindungi mereka,” katanya.
Sehubungan itu, semua PATI diseru untuk tampil segera menyelesaikan status masing-masing melalui saluran yang sah sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.


