HUBUNGAN antara dua parti utama dalam Perikatan Nasional (PN) Pas dan Bersatu di Selangor agak tegang berikutan tercetus isu siapa sepatutnya menjadi Pengerusi PN negeri itu.
Ia berikutan tindakan Pas Selangor yang menafikan kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr. Afif Bahardin bahawa Pas bersetuju menyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menduduki jawatan berkenaan (Pengerusi PN).
Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, kenyataan Dr Afif itu tidak mencerminkan pendirian sebenar Pas tersebut.
“Tiada keputusan rasmi dalam mana-mana mesyuarat Pas Selangor yang memutuskan sokongan pada Azmin Ali untuk mengetuai PN Selangor,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Dr. Afif mendakwa PAS Selangor bersetuju Mohamed Azmin yang juga ADUN Hulu Kelang kembali mengetuai PN Selangor, ketika masih ada suara daripada parti berkenaan menuntut jawatan berkenaan.
Mengulas kenyataan Bendahari PAS Iskandar Samad yang wajar parti itu mengetuai PN Selangor, Dr. Afif berkata pandangan bekas Adun Chempaka itu disifatkan terpencil.
Dalam pada itu, Sukri menjelaskan, suara akar umbi parti di Selangor jelas mahukan Pas memimpin PN negeri berdasarkan kekuatan gerak kerja serta konsistensi parti itu di lapangan.
Menurutnya, dakwaan kononnya PAS Selangor bersetuju mengekalkan ‘status quo’ juga hanyalah tafsiran sendiri dan bukan pendirian rasmi parti.
Katanya, pelantikan siapa yang menerajui PN negeri merupakan kuasa mutlak Pengerusi PN Datuk Seri Dr.Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Kita menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan pengerusi PN untuk membuat keputusan terbaik, setelah mendengar pandangan dan denyut nadi akar umbi.
“Fokus utama ketika ini adalah terus membawa isu rakyat dan menjadi suara paling lantang untuk rakyat,” katanya.


