Proses penyediaan perintah pelepasan Najib wajar diteliti – AMK

PROSES penyediaan perintah pelepasan (order of discharge) untuk Datuk Seri Najib Tun Razak wajar diteliti bagi memastikan kandungannya selaras dengan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Biro Guaman dan Aduan Awam Angkatan Muda Keadilan (AMK) Khairul Naim Rafidi berkata mereka memandang serius kekeliruan berhubung pelaksanaan perintah pengampunan bersyarat yang diperkenankan Sultan Ibrahim terhadap bekas perdana menteri itu.

Katanya, dakwaan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) dan kerajaan mengingkari titah Agong tidak wajar dibuat tanpa meneliti terlebih dahulu persoalan undang-undang yang berbangkit.

Beliau berkata, tindakan AGC mendapatkan penjelasan mengenai tafsiran dan pelaksanaan perintah berkenaan tidak dengan sendirinya bermaksud berlaku keingkaran terhadap titah Sultan Ibrahim.

Malah, katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengarahkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, menghadap Agong bagi menjelaskan kedudukan undang-undang berhubung perkara itu.

“Titah Yang di-Pertuan Agong mesti dijunjung, dan setiap tindakan kerajaan serta institusi perundangan hendaklah berlandaskan perlembagaan. Persoalan tafsiran mesti diselesaikan melalui saluran yang sah, bukan melalui tuduhan yang belum dibuktikan,” katanya lapor Malaysiakini.

Kata Khairul Naim, kuasa pengampunan yang ada pada Agong mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memang wajib dihormati.

Pada masa sama, beliau menegaskan, persoalan tafsiran mesti diselesaikan melalui saluran yang sah, bukan melalui tuduhan yang belum dibuktikan.

“Kedaulatan undang-undang menuntut ketelitian, keadilan dan tanggungjawab daripada semua pihak,” katanya.

Beliau juga memaklumkan AMK akan menggerakkan laporan polis bagi menggesa siasatan dibuat terhadap kemungkinan wujud sebarang isu dalam proses berkenaan.

“Tujuannya ialah untuk mengenal pasti punca kekeliruan dan memastikan sebarang salah laku, jika terbukti, ditangani menurut undang-undang,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here