POLIS masih menunggu laporan penuh Jabatan Kimia dan keputusan patologi bagi menentukan punca sebenar kematian Noorizwan Zulkefly, 42, yang meninggal dunia ketika dalam tahanan pada 1 Oktober lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, lelaki itu meninggal dunia jam 1.52 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) selepas dilaporkan tidak sihat ketika dalam tahanan.
“Punca kematian buat masa ini masih belum dimuktamadkan dan kita masih menunggu laporan penuh daripada Jabatan Kimia.
“Kita berharap semua pihak bersabar dan menunggu keputusan rasmi daripada patologi,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).
Menurutnya, siasatan turut meneliti semua bukti bagi menentukan sama ada berlaku salah laku atau pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam pengendalian tahanan berkenaan.
Fadil mengesahkan prosedur penahanan dipatuhi, namun siasatan Bukit Aman masih diteruskan bagi meneliti kemungkinan berlaku salah laku atau pelanggaran SOP.
Mengulas lanjut, beliau berkata, lelaki itu mempunyai 44 rekod lampau, terdiri daripada 18 berkaitan narkotik dan 26 kesalahan jenayah.
Menurutnya, lelaki itu ditangkap susulan tiga laporan terhadapnya, membabitkan satu kes narkotik dan dua kes jenayah.
Bagi kes narkotik yang disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Timbalan Pendakwa Raya memutuskan tiada tindakan lanjut pada 22 September lalu selepas siasatan mendapati lelaki itu tidak mempunyai kawalan atau pemilikan terhadap dadah yang dirampas.
Dalam kes kedua, yang disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, polis memperoleh bukti cap jari positif di lokasi kejadian.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya mengarahkan pertuduhan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan pada 1 Oktober lalu sebelum keputusan tiada tindakan lanjut dibuat pada 6 Oktober susulan kematian lelaki itu.
Bagi kes ketiga membabitkan kecurian patung Buddha yang disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, keputusan tiada tindakan lanjut turut dibuat pada 8 Oktober lalu atas alasan sama.
Fadil turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung kematian itu sementara menunggu hasil siasatan lengkap Bukit Aman.
Beliau berkata, polis memerlukan ruang untuk menjalankan siasatan secara terperinci dan teliti, selain mengalu-alukan sebarang maklumat tambahan daripada orang awam.
Sebelum ini, Lawyers for Liberty (LFL) mendesak polis menyiasat kematian Noorizwan sebagai kes bunuh susulan dakwaan kecederaan serius pada tubuh mangsa.
Peguam keluarga, N Surendran, pada sidang media 7 Oktober lalu mendakwa keluarga dimaklumkan mengenai kecederaan pada beberapa bahagian tubuh mangsa, termasuk kepala dan tulang rusuk.





