KEMERDEKAAN yang dinikmati rakyat Malaysia hari ini adalah hasil pengorbanan dan perjuangan generasi terdahulu yang perlu dihargai serta diteruskan legasinya.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sebagai rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, agama, budaya dan latar belakang, rakyat perlu terus memperkukuh perpaduan, saling menghormati serta menjaga keharmonian yang menjadi asas kekuatan negara.
“Dengan semangat kebersamaan dan rasa tanggungjawab, kita mampu membina sebuah Malaysia yang lebih inklusif, makmur, aman dan sejahtera untuk semua,” katanya ketika berucap sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 yang disiarkan di akaun X Berita RTM hari ini.
Berlandaskan tema sambutan tahun ini `Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’, Fahmi menegaskan, kemajuan dan kesejahteraan negara perlu dijadikan sebagai tanggungjawab bersama agar manfaat pembangunan dapat dirasai seluruh rakyat.
Beliau turut berharap Malaysia akan terus melangkah maju, bersatu dan dihormati di persada dunia.
“Selamat Hari Kebangsaan dan Selamat Hari Malaysia. Ayuh kita semarakkan semangat patriotisme,” katanya.





