RAKYAT Iran turun beramai-ramai ke jalan raya bagi memperingati Hari Quds Antarabangsa, dengan menyatakan sokongan kepada Palestin walaupun berlaku serangan udara yang didakwa menyasarkan kawasan perumahan berhampiran lokasi perhimpunan.
Menurut laporan agensi berita Tasnim News Agency, serangan tersebut didakwa dilakukan oleh Israel dengan sokongan Amerika Syarikat (AS) dan dilihat sebagai usaha untuk menakut-nakutkan peserta perhimpunan.
Walaupun keadaan tegang, perhimpunan yang diadakan di beberapa bandar utama di Iran tetap diteruskan. Peserta dilaporkan terus berhimpun dan menyertai perarakan dengan semangat yang tinggi.
Jumlah sebenar mangsa akibat serangan udara tersebut masih belum didedahkan secara rasmi setakat ini.
Dalam demonstrasi tersebut, sebahagian peserta melaungkan slogan menentang Amerika Syarikat dan Israel, sambil menegaskan sokongan terhadap Palestin. Perhimpunan Hari Quds juga sering dikaitkan dengan semangat Revolusi Iran yang membentuk identiti politik republik Islam itu.
Laporan turut mendakwa bahawa serangan terhadap kawasan berhampiran perhimpunan Hari Quds merupakan sebahagian daripada ketegangan berterusan antara Iran dengan musuh-musuh serantaunya.
Walaupun berdepan ancaman keselamatan, rakyat Iran tetap meneruskan perarakan dan demonstrasi sebagai tanda solidariti terhadap Palestin serta penolakan terhadap apa yang mereka anggap sebagai tekanan dan pencerobohan luar.


