PM dijangka buat pengumuman penting pada 30 Ogos dan 16 September

DATUK Seri Anwar Ibrahim dijangka membuat beberapa pengumuman penting berkaitan negara pada malam sambutan ambang merdeka dan Hari Malaysia pada 16 September ini.

Bagaimanapun, Perdana Menteri tidak mengulas lanjut mengenai perkara yang bakal diumumkan itu.

“Saya akan dengar, minta beberapa pandangan lain dikemukakan dan (menjelang) 31 Ogos tahun ini, saya akan buat satu dua pengumuman penting bagi negara… kemudian saya ke Kuching, 16 September Hari Malaysia.

“Jadi, 30 Ogos malam satu pengumuman, (selepas itu) 16 September, kemudian (akan ada pengumuman pada) awal Oktober (semasa) Belanjawan,” katanya pada sesi Temu Anwar sempena Majlis Perasmian Himpunan Anak Muda Antarabangsa (HAMKA) 2026 di Klang hari ini, lapor Bernama.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan seorang mahasiswa mengenai langkah kerajaan bagi menjamin kebajikan dan keselamatan kewangan belia yang terlibat dalam ekonomi gig.

Menurut Anwar, kerajaan sedang memperkukuh perlindungan bagi pekerja ekonomi gig menerusi penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) selain memperkenal rang undang-undang baharu berkaitan perniagaan kecil-kecilan.

Beliau memberitahu, walaupun terdapat pandangan bahawa bantuan sedia ada masih belum mencukupi, kerajaan tetap perlu memastikan kebajikan golongan berkenaan terbela.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan akan mempermudah akses pembiayaan kepada graduan yang ingin memulakan perniagaan termasuk menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

Beliau berkata, syarat sedia ada yang memerlukan pemohon mempunyai rekod perniagaan sebelum memperoleh pembiayaan perlu dilihat semula memandangkan keadaan ekonomi dan corak pekerjaan telah berubah.

“Jadi, saya hanya boleh sebut di sini saya akan dengar dan teliti… jika ada keupayaan, kita akan lakukan yang terbaik untuk belia,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here