LONJAKAN harga petroleum hari ini bukan berpunca daripada kenaikan harga minyak mentah semata-mata, sebaliknya konflik di Asia Barat telah meningkatkan risiko terhadap rantaian bekalan petroleum global, sekali gus melonjakkan kos penghantaran dan premium insurans.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan menjelaskan, sebagai contoh, premium insurans kini meningkat sehingga 17 kali ganda berbanding sebelum konflik, berikutan Asia Barat dikategorikan sebagai zon berisiko tinggi.

‘’Kos penghantaran pula melonjak sehingga tiga kali ganda, didorong oleh kenaikan harga minyak serta laluan perjalanan yang lebih jauh bagi mengelakkan kawasan konflik.
‘’Peningkatan kos di sepanjang rantaian bekalan dan penapisan petroleum yang jauh melebihi kenaikan harga minyak mentah akhirnya memberi kesan kepada harga runcit di pam,’’ kata MoF.

Bagaimanapun kata kementerian itu, dalam suasana luar biasa yang memberi tempias ke seluruh dunia, kerajaan kekal tekad melindungi rakyat.
‘’Semua warganegara Malaysia yang mempunyai lesen memandu aktif terus menikmati BUDI MADANI RON95 (BUDI95) pada harga RM1.99 seliter, walaupun harga tanpa subsidi telah meningkat hampir dua kali ganda sejak konflik Asia Barat tercetus.
‘’Kerajaan juga telah meningkatkan bantuan BUDI Diesel kepada RM400 bagi April 2026, iaitu kenaikan kali kedua daripada kadar asal RM200,’’ kata MoF


