RCI Tabung Haji: SPRM reman tiga lagi individu

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga lagi individu terdiri daripada timbalan pengurus besar pembinaan, pengurus keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta pengarah projek sebuah syarikat hartanah yang merupakan anak syarikat badan berkanun kerana disyaki bersubahat menyeleweng caj notis penalti (NOP) kira-kira RM450,000.

Penahanan ketiga-tiga suspek itu susulan tindakan suruhanjaya itu menahan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) sebuah syarikat milik badan berkanun kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dalam proses pembelian saham dua syarikat perladangan bernilai RM370 juta.

Bagi tiga suspek itu, perintah reman selama lima hari sehingga 9 Ogos depan terhadap mereka telah dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an telah ditahan jam 6 petang semalam di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2017 hingga 2019,” kata sumber itu hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, SPRM menahan bekas CEO dan bekas CFO sebuah syarikat milik badan berkanun kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dalam proses pembelian saham dua syarikat perladangan bernilai RM370 juta.

Kedua-dua mereka masing-masing berusia 68 dan 60 tahun ditahan ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, kira-kira jam 6.30 petang semalam.

Bagaimanapun, kedua-duanya dibebaskan pada malam sama atas faktor kesihatan dan dijadual hadir semula ke ibu pejabat SPRM pada jam 10 pagi ini bagi menyambung rakaman percakapan.

Tahanan reman ini adalah susulan daripada siasatan oleh pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyemak dan meneliti hasil Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang telah didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 29 Julai lalu.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img