SEORANG bekas Menteri akan didakwa di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur 14 September ini berkaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji.
Ketua Pesuruhanjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, hari ini agensi itu telah mendapat izin untuk mendakwa bekas Menteri berkenaan.
‘’SPRM telah mengesyorkan sebanyak 3 pertuduhan dibawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan (menyalahguna harta dengan curang),’’ kata pada Sesi Wawancara Bersama Media di Putrajaya, hari ini.
Bekas menteri itu ditahan pada 1 September lalu dan direman sehingga kelmarin sebelum dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Abdu Halim berkata, bekas menteri berkenaan sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM, namun skop siasatan boleh berubah berdasarkan keterangan dan dokumen yang diperoleh.
Katanya, pada peringkat awal siasatan, sesuatu kes mungkin dilihat mempunyai elemen di bawah Seksyen 16 Akta SPRM, namun selepas penelitian lanjut, peruntukan undang-undang lain mungkin lebih sesuai digunakan.
“Skop siasatan itu luas. Pada awalnya mungkin kita nampak di bawah Seksyen 16, tetapi apabila sampai ke penghujung siasatan, selepas kita ambil keterangan dan semak dokumen, mungkin kita dapati seksyen lain lebih sesuai,” katanya.
Abd Halim berkata, daripada lapan kes baharu yang dibuka hasil penelitian SPRM terhadap laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), tiga daripadanya setakat ini telah membawa kepada pertuduhan.
Katanya, beberapa kes lain masih dalam siasatan, termasuk yang membabitkan entiti asing seperti Arab Saudi dan Singapura, yang memerlukan proses bantuan perundangan bersama (MLA) bagi mendapatkan dokumen, kerjasama serta keterangan berkaitan.
Beliau yang berusia sekitar 60-an merupakan individu keenam didakwa berhubung laporan RCI Tabung Haji.
Sebelum ini lima individu telah didakwa iaitu bekas Timbalan Pengurus Besar Pembinaan TH Properties Sdn Bhd; Tengku Kamarolhisham Tengku Kamaruddin yang dituduh pada 3 September 2026 mengikut Seksyen 409 dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama (subahat).
Individu kedua ialah bekas Pengurus Keselamatan dan Kesihatan TH Properties Sdn Bhd; Nasahruddin Ahmad dituduh pada 3 September 2026 di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Individu ketiga, bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji; Datuk Seri Azeez Abdul Rahim dituduh pada 9 September 2026 1 pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) ASPRM 2009.
Individu keempat Ketua Pegawai Eksekutif Alam Maritim Sdn Bhd; Datuk Azmi Ahmad dituduh hari ini atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan manakala individu kelima bekas Ketua Pegawai Operasi TH; Datuk Adi Azuan Abdul Ghani yang sepatutnya dituduh di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan pada 3 dan 4 September 2026 telah ditunda ke 24 September 2026 di atas faktor kesihatan.





