SEBANYAK 68 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan Ops Gegar di sebuah kelab malam di Jalan Ampang malam tadi, selepas disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial dan bekerja di luar sektor yang dibenarkan.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Datuk Hamsha Injau berkata, seramai 113 individu diperiksa dalam operasi itu, dengan mereka yang ditahan terdiri daripada 47 wanita dan tujuh lelaki warga Thailand serta 14 pekerja lelaki warga Bangladesh.
Menurutnya, operasi itu dilaksanakan susulan aduan awam, maklumat daripada agensi sahabat dan risikan selama dua bulan terhadap premis berkenaan.
Kata beliau, hasil pemeriksaan mendapati terdapat warga asing yang memegang pas kerja dalam sektor lain, termasuk pembersihan dan pembinaan, tetapi bekerja di premis hiburan berkenaan.
“Justeru, JIM memberi peringatan kepada pekerja asing di Malaysia mematuhi syarat pas yang ditetapkan. Jika pas itu untuk sektor pembinaan, bekerjalah di tapak pembinaan dan jika sebagai pekerja pembersihan, kerjalah dalam bidang itu.
“Apa yang dikesan di sini, ada pemegang pas sektor pembinaan dan pembersihan tetapi bekerja di premis hiburan. Mereka jelas melanggar syarat pas dan tindakan tegas diambil di bawah Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya kepada media selepas mengetuai operasi itu.
Hamsha berkata, kesemua warga asing yang ditahan berusia antara 20 hingga 55 tahun dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil manakala lima warga tempatan diberikan Notis Saman Saksi bagi membantu siasatan lanjut.
Beliau berkata, operasi penguatkuasaan yang menyasarkan warga asing yang menyalahgunakan pas lawatan sosial akan dipergiat di seluruh ibu negara.
Dalam serbuan itu, kegiatan sebuah kelab malam yang didakwa menawarkan bayaran tip antara RM100 hingga RM3,000 kepada gadis pelayan pelanggan (GRO) turut dikesan.
Bayaran berkenaan dipercayai diberikan sebagai komisen kepada GRO yang melayan pelanggan menerusi persembahan tarian, manakala kadar yang dikenakan berbeza mengikut selempang dan pakaian khas yang dipakai.
“Kita dapati ada harga yang ditetapkan mengikut selempang dan pakaian khas yang dibayar oleh pelanggan yang memaparkan harga.
“Paling tinggi tadi kita lihat mencecah RM3,000, manakala ada yang RM1,000, RM500 dan serendah RM100 yang turut diagihkan sebagai komisen kepada wanita berkenaan,” katanya.
Media yang mengikuti operasi tengah malam tadi mendapati GRO warga asing sedang melayan pelanggan sebelum suasana bertukar kecoh apabila mereka dipercayai cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran pegawai imigresen.
Pasukan operasi turut berdepan situasi tegang seketika dengan pengawal keselamatan premis, namun keadaan berjaya dikawal oleh pegawai bertugas.
Tinjauan di lokasi mendapati kelab malam itu menyediakan persembahan nyanyian dan tarian serta bilik karaoke bagi membolehkan pelanggan berhibur secara lebih privasi bersama GRO pilihan mereka.
Seorang pengawal keselamatan warga tempatan mendakwa sudah bekerja di premis itu hampir lapan tahun di bawah beberapa pihak pengurusan berbeza, namun tidak mengetahui tempoh sebenar kelab malam berkenaan beroperasi.
Turut hadir dalam operasi itu ialah Timbalan Pengarah (Kawalan) Imigresen Kuala Lumpur, Azhar Ahmad serta pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur.





