SEORANG remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Kampung Kolong Sungai Tengah, berdekatan Sekolah Kebangsaan Tan Sri Datuk Haji Mohamed, di Kuching hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mangsa dikenali sebagai Fahril Zaquan Hasbullah, 17.
Menurut jurucakap itu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.32 petang.
“Sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 18 kilometer dari balai berkenaan sejurus menerima panggilan.
“Menurut maklumat awal, ketika kejadian mangsa dikatakan sedang bermain bersama seorang rakannya di tebing sungai sebelum terjatuh ke dalam air.
“Mangsa kemudiannya dilaporkan hanyut dibawa arus sungai yang deras, manakala rakannya gagal menyelamatkannya sebelum memaklumkan kejadian kepada penduduk setempat,” katanya.
Bomba kemudiannya menjalankan operasi pencarian di sekitar tebing sungai dan kawasan permukaan air bagi mengesan mangsa.
Sehingga jam 6.30 petang, operasi mencari dan menyelamat masih gagal mengesan mangsa.


