SEORANG remaja lelaki berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang selepas dipercayai dibaham buaya ditemukan meninggal dunia di Ulu Sungai Plaie, Kuching, malam tadi.
Mayat Mohd Nordin Mohd Othman ditemukan penduduk kampung kira-kira jam 8 malam, pada jarak sekitar 800 meter dari jeti kampung berkenaan.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, penemuan itu susulan maklumat seorang penduduk Kampung Tuba yang ternampak seekor buaya dipercayai membawa sesuatu di dalam mulutnya ketika dalam perjalanan pulang selepas menziarahi keluarga mangsa.
Menurutnya, datuk mangsa, Dana anak Randi, kemudian membuat pengecaman fizikal dan mengesahkan mayat yang ditemukan itu ialah cucunya.
“Keadaan fizikal mangsa ditemui dalam keadaan tidak sempurna, dengan kedua-dua tangan dan kaki kiri tiada, selain terdapat kesan gigitan pada bahagian belakang badan, kemaluan, perut dan pangkal paha.
“Mangsa turut mengalami beberapa kesan luka pada badan, kening dan muka serta kesan calar,” menurut kenyataan itu hari ini.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Simunjan untuk tindakan lanjut.





