Remaja maut, rakan parah motosikal rempuh tembok tiang selamat jalan

SEORANG remaja perempuan maut manakala rakannya parah selepas motosikal dinaiki mereka merempuh tembok tiang tanda selamat jalan di sempadan negeri Kedah dan Perlis di Jalan Sanglang, Kubang Pasu  malam tadi.

Nahas berlaku kira-kira jam 10 malam dan mangsa yang berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, rakan mangsa seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 mengalami kecederaan serius di kepala dan muka.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari arah Sanglang menghala ke Kangar.

“Setibanya di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang remaja itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar tembok tiang tanda selamat jalan di sempadan negeri,” katanya hari ini.

Mohd Radzi berkata, berikutan pelanggaran itu, pembonceng perempuan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggangnya mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk menerima rawatan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian penunggang yang gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan ia terbabas.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img