JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan 492 pekerja asing atas pelbagai kesalahan dalam operasi penguatkuasaan di sebuah kilang komponen automotif dan elektronik di Kawasan Perindustrian Tebrau, Johor Bahru semalam.
Pengarah Imigresen Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata operasi pada 10 pagi bersama dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) itu dijalankan hasil risikan dan aduan awam.
Beliau berkata serbuan dilakukan setelah pemantauan intensif selama beberapa minggu, susulan maklumat mengenai kegiatan majikan yang dipercayai menggajikan warga asing secara tidak sah, bagi mengelakkan kos penggajian lebih tinggi.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 364 lelaki dan 128 wanita dari tujuh negara iaitu Myanmar, Bangladesh, Nepal, India, Pakistan, Indonesia dan Kemboja berusia lingkungan 19 hingga 46 tahun, dipercayai bekerja tanpa kebenaran serta gagal mengemukakan dokumen sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam operasi itu, Mohd Rusdi berkata beberapa individu cuba melarikan diri dan bersembunyi manakala seorang lelaki tempatan yang juga pengurus kilang terbabit turut ditahan.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 manakala kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut.





