Sahabat MADANI terjemah roh, jiwa reformasi

SEBANYAK 11,060 sukarelawan Sahabat MADANI telah berdaftar di seluruh negara, sekali gus menjadi gerakan kesukarelawanan nasional yang memperkukuh nilai hormat, menyatukan masyarakat dan menggerakkan khidmat bakti merentasi kaum, agama serta latar belakang.

Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dalam kenyataan memaklumkan jaringan itu menumpukan kepada khidmat masyarakat yang membawa manfaat langsung, termasuk menyantuni golongan memerlukan, membantu anak keciciran pendidikan, membuka peluang kerjaya dan perniagaan kepada belia serta menghulurkan bantuan ketika musibah.

“Roh dan jiwa reformasi diterjemahkan melalui Sahabat MADANI dengan membentuk jaringan kerjasama nasional antara kerajaan, sukarelawan dan komuniti yang berteraskan tindakan, ketelusan serta keberhasilan untuk rakyat.

“Melalui penyelarasan yang tersusun, inklusif dan responsif, khidmat serta intervensi disalurkan berdasarkan keperluan sebenar, sekali gus memperluas manfaat pembangunan, memperkukuh keupayaan komuniti dan memastikan tiada golongan tercicir,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Sahabat MADANI Peringkat Kebangsaan pada Majlis Kemuncak Ambang Merdeka Sahabat MADANI 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, di Bukit Mertajam.

Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan, ICU JPM memaklumkan semangat kemerdekaan diterjemahkan bukan sahaja melalui kibaran Jalur Gemilang, tetapi juga menerusi kesediaan rakyat untuk berkhidmat, memelihara integriti dan membela mereka yang memerlukan.

Menurut kenyataan itu, khidmat bakti merentasi perbezaan menjadi landasan untuk memupuk keharmonian dan mempererat hubungan masyarakat, selain menyatukan rakyat dalam usaha membebaskan negara daripada kemiskinan, kesempitan hidup, rasuah dan ketidakadilan.

Berpaksikan aspirasi Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati, Sahabat MADANI dihasratkan menjadi kekuatan kolektif yang membudayakan rasa peduli, tanggungjawab serta penyertaan aktif seluruh lapisan masyarakat.

Menurut ICU JPM, generasi muda diseru menolak sentimen perpecahan serta menyumbang tenaga dan kepakaran demi kemajuan negara, sekali gus membina rakyat yang bersatu dalam khidmat, teguh dalam keharmonian dan bergerak bersama memastikan kesejahteraan dapat dinikmati semua.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here