72 rakyat Malaysia terkandas di Tibet disahkan selamat

KESEMUA  72 rakyat Malaysia yang terkandas di Tibet, China, susulan banjir dan tanah runtuh di Nepal, disahkan berada dalam keadaan selamat dan sihat, kata Kementerian Luar (Wisma Putra).

Ketika memaklumkan perkara itu melalui kenyataan hari ini, kementerian itu berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Beijing sedang berhubung dengan mereka yang kini berada di Darchen dan ahli keluarga turut mengetahui keadaan mereka.

“Kedutaan Besar sedang memberikan bantuan konsular, termasuk membantu urusan perjalanan mereka untuk meninggalkan Tibet,” kata Wisma Putra.

Dalam perkembangan yang sama, kementeri itu turut menerima maklumat daripada pihak berkuasa China dan ahli keluarga mengenai 36 rakyat Malaysia yang kini dilaporkan masih belum dapat dihubungi di kawasan yang mengalami gangguan telekomunikasi.

Kata Wisma Putra, Kedutaan Besar Malaysia di Beijing sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa China dan ahli keluarga untuk menghubungi individu berkenaan.

“Maklumat yang diterima turut disemak dengan laporan mengenai rakyat Malaysia di Nepal bagi mengenal pasti sebarang pertindihan, sementara proses pengesahan diteruskan,” kata Wisma Putra.

Kementerian Luar memaklumkan, pihak berkuasa turut memantau risiko peningkatan aliran air dari Tibet dan setakat jam 5 petang semalam, waktu Nepal (7.15 malam waktu Malaysia), National Disaster Risk Reduction and Management Authority of Nepal melaporkan 771 orang diselamatkan, termasuk 116 warganegara asing.

Berdasarkan senarai rasmi yang tersedia pada peringkat ini, kementerian menjelaskan, tiada rakyat Malaysia dikenal pasti dalam kalangan warganegara asing yang diselamatkan.

“Bilik Operasi Kementerian di Putrajaya beroperasi 24 jam sejak kelmarin bagi menyelaras maklumat dan membantu rakyat Malaysia di kawasan terjejas serta ahli keluarga mereka.

“Rakyat Malaysia di kawasan terjejas dan ahli keluarga yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi kementerian melalui talian +603 8887 4570 dan emel dutyofficer@kln.gov.my,” katanya.

Kementerian juga menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau berkongsi maklumat yang belum disahkan, sementara usaha untuk mendapatkan kepastian mengenai keselamatan dan keberadaan rakyat Malaysia yang terbabit masih diteruskan.

“Kementerian akan terus memberikan perkembangan terkini berdasarkan maklumat yang disahkan melalui saluran rasmi,” ujarnya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here