DATUK Seri Hamzah Zainudin hari ini dengan tegas mengecam pihak-pihak yang cuba memecah belahkan Bersatu melalui surat layang serta menuduh ahli sesama parti sebagai Si Kitol dan pengkhianat.
Ketika menyampaikan ucapan penggulungan kali pertama sebagai Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah berkata, sebelum ini beliau sudah mengingatkan supaya jangan ada pihak yang membawa budaya tidak baik ke dalam parti tersebut.
‘’Ini ada surat layang yang kata macam-macam dalam kalangan kita. Apa ni tuduh menuduh sesama kita Si Kitol. Saya nak bagi tahu…Si Kitol yang ada hari ini bukan dalam parti ini..Si Kitol yang ada hari ini adalah dalam kalangan mereka yang mengkhianati agama,bangsa dan negara…itulah sebenarnya Si Kitol,’’ tegasnya pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Shah Alam hari ini.
Hamzah mula menjadi perhatian apabila menjelang perhimpunan itu tersebar surat layang yang menuduh beliau terlibat dalam gerakan mahu menjatuhkan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Malam tadi nama Hamzah turut dikaitkan oleh pihak-pihak tertentu apabila Muhyiddin mendedahkan terdapat gerakan mengumpul tandatangan untuk menjatuhkan beliau sebagai Presiden Bersatu.
Rentetan kepada semua keadaan itu, Hamzah mengambil peluang daripada ucapan penggulungannya itu mengecam pihak-pihak yang melakukan fitnah dan menzahirkan secara terbuka sokongannya kepada Muhyiddin dan kesetiaan kepada Bersatu.

‘’Sudah-sudahlah..saya nak maklumkan…saya adalah penyokong nombor satu kepada Presiden (Muhyiddin) yang ada hari ini. Apa sahaja yang diarahkan kepada saya…(sama ada ketika menjadi) Setiausaha Agung dahulu dan hari ini sebagai Timbalan Presiden saya laksamakan. Sir believe me..i’m you man’ …jangan dengar cucuk mencucuk,’’ katanya sambil melihat Muhyiddin.
Hamzah berkata, masalah yang dihadapi oleh parti itu hari ini disebabkan ada individu yang suka ‘cucuk-mencuck’ (laga melaga).
‘’Yang masalah kita hari ini adalah kerana ada orang yang belum tahu apa-apa..cucuk, yang belum tahu apa sebenarnya…cucuk…yang belum tahu Jantan betina…cucuk, belum tahu depan belakang…cucuk…
‘’Ini bukan budaya kita, budaya kita tidak ada cucuk mencucuk, budaya kita mengangkat martabat Presiden dan parti kita sayangi ini,’’ katanya.
Hamzah mengakhiri ucapannya dengan menyentuh soal pengkhianatan yang dituju kepadanya oleh pihak tertentu sehingga dewan hening seketika.
‘’Kalau nak pecat..parti mana sayang nak pergi..cukuplah…ini parti terakhir saya. Saya akan mati dalam parti yang saya sayangi ini. Percayalah saya sudah berkorban untuk parti ini…macam-macam saya lakukan.
‘’Saya tak pernah cerita ini kepada semua rakan-rakan kerana saya lakukan ini ikhlas. Saya lakukan ini untuk kepentingan presiden kita, pemimpin di atas ini. Jadi janganlah dianggap (saya) satu kumpulan pengkhianat. Pengkhianatan apa yang lagi saudara-saudara mahu daripada saya.’’
‘’Saya nak maklumkan saya bukan pengkhianat tetapi saya mahu menjadi seorang sahabat yang duduk di sebelah Presiden, adik kepada Presiden, orang suruhan kepada Presiden..tidak lebih daripada itu,’’ katanya.


