AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyerahkan nasibnya kepada Allah SWT kerana sudah berusaha sebaik mungkin dalam menantikan keputusan Mahkamah Persekutuan esok, sama ada kekal bebas atau dijatuhi hukuman penjara atas empat pertuduhan.
Sehubungan itu melalui video di Facebook beliau, Syed Saddiq meminta rakyat Muar dan seluruh rakyat Malaysia tidak hanya mendoakan kesejahteraannya, malah turut mendoakan supaya Malaysia terus kekal sebagai sebuah negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang serta melindungi semua pihak tanpa mengira kawan atau lawan, pihak berkuasa mahupun rakyat biasa.
“Malam ini saya tidak meminta simpati, saya mahu bercakap tentang siapa kita walaupun diuji. Lebih enam tahun saya melalui proses ini. Saya hadir setiap kali dipanggil, tiada penangguhan daripada saya, tiada jalan pintas dan tiada layanan istimewa.
“Saya memilih mahkamah kerana di negara ini yang kita cintai ini, kebenaran mesti diuji dengan bukti dan keadilan ditegakkan melalui undang-undang bukan kuasa. Pada 25 Jun tahun lalu, Mahkamah Rayuan sebulat suara 3-0 membebas dan melepaskan saya. Esok Mahkamah Persekutuan akan memberikan keputusan muktamad.
“Saya tidak akan mendahului mahkamah. Saya menghormati prosesnya dan saya akan hadir dengan tenang,” katanya .
Esok Mahkamah Persekutuan dijadual menyampaikan keputusan akhir berhubung rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq selepas keputusan kes ditangguhkan pada 30 Jun lalu, apabila seorang daripada tiga hakim panel terbabit mengambil cuti sakit.
Ia menentukan sama ada beliau kekal dibebaskan atau menjalani hukuman penjara atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah, dijangka menyampaikan keputusan terhadap Syed Saddiq pada jam 9 pagi.
Pendakwaan merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Jun tahun lalu, melepas dan membebaskan Syed Saddiq, 33, selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.
Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari ARMADA melakukan pecah amanah terhadap dana ARMADA berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun, sebatan dan denda.
Selain itu, Syed Saddiq turut berdepan pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik ARMADA Bumi Bersatu Enterprise mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda.
Dia juga dituduh melakukan dua transaksi pengubahan wang haram iaitu memindahkan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang sabit kesalahan boleh dipenjara 15 tahun serta denda lima kali nilai terbabit.






