SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama kerajaan negeri Selangor melancarkan Kempen Pencegahan Vandalisme Infrastruktur Telekomunikasi Peringkat Negeri Selangor 2026 bagi membanteras kegiatan vandalisme dan kecurian kabel yang semakin serius di negeri itu.
Kempen berkenaan disempurnakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai langkah memperkukuh perlindungan terhadap kemudahan komunikasi yang menjadi tulang belakang kepada pembangunan digital dan operasi harian rakyat.
Menurut MCMC, Selangor terus merekodkan jumlah kes vandalisme infrastruktur telekomunikasi tertinggi di negara ini dengan 1,836 kes dicatatkan pada tahun 2024, manakala sebanyak 1,273 kes direkodkan sepanjang tahun lalu.
“Malah, wilayah tengah yang meliputi Selangor dan Kuala Lumpur turut dikenal pasti sebagai kawasan paling tinggi merekodkan kes vandalisme telekomunikasi di peringkat nasional.
“Aktiviti jenayah seperti kecurian kabel, kerosakan pencawang dan pemotongan rangkaian komunikasi dilihat memberi kesan besar bukan sahaja kepada industri telekomunikasi, malah menjejaskan capaian internet, operasi perniagaan, pembelajaran digital serta perkhidmatan kecemasan,” kata MCMC dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Menurut suruhanjaya itu, kebelakangan ini, beberapa video tular dalam media sosial turut memaparkan kegiatan mencuri kabel dilakukan secara terbuka termasuk di kawasan awam dan pada waktu siang, sekali gus mencetuskan kebimbangan orang ramai.
Susulan itu, MCMC berkata, beberapa inisiatif utama akan diperkenalkan menerusi kempen berkenaan termasuk penubuhan jawatankuasa khas melibatkan MCMC, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta pemain industri telekomunikasi bagi memperkukuh tindakan penguatkuasaan dan pemantauan.
Selain itu, program kesedaran awam serta sesi literasi berkaitan kesan vandalisme terhadap keselamatan dan ekonomi negara akan diperluaskan kepada masyarakat.
MCMC turut memaklumkan program kesedaran bersasar akan dilaksanakan secara berterusan sepanjang tahun depan di beberapa kawasan dikenal pasti sebagai hotspot termasuk Rawang, Gombak dan Bangi dengan kerjasama syarikat telekomunikasi dan komuniti setempat.
Sementara itu, dalam ucapannya, Amirudin berkata, keselamatan infrastruktur telekomunikasi perlu diberi perhatian serius bagi memastikan agenda pembangunan digital negeri dapat diteruskan secara mampan dan selamat.
Beliau turut menggesa semua pihak termasuk agensi kerajaan, pemain industri dan masyarakat supaya bersama-sama memainkan peranan dalam melindungi kemudahan komunikasi negara daripada sebarang unsur sabotaj dan vandalisme.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah kepimpinan tertinggi MCMC, agensi penguat kuasa, wakil pihak berkuasa tempatan, syarikat telekomunikasi serta komuniti setempat.
IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI
FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


