Penjawat awam Selangor terima bantuan khas kewangan dua bulan gaji

PENJAWAT awam di Selangor bakal menerima Bantuan Khas Kewangan Kita Selangor 2026 sebanyak dua bulan gaji atau dua bulan elaun dengan bayaran minimum RM1,000.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan itu diberikan sebagai penghargaan terhadap komitmen penjawat awam yang bertungkus-lumus melaksanakan pelbagai inisiatif kerajaan negeri bagi membantu rakyat.

Katanya, sumbangan itu turut mengambil kira peranan penjawat awam dalam menjayakan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang memberi manfaat kepada golongan rentan, pelajar sekolah, wanita bekerja, petani dan pesawah.

“Kerajaan Negeri mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Kita Selangor bagi Tahun 2026 sebanyak dua bulan gaji atau dua bulan elaun dengan bayaran minimum RM1,000.

“Bayaran ini akan menggunakan peruntukan tahun semasa meliputi emolumen anggota kerajaan negeri yang gajinya dibayar oleh Kerajaan Persekutuan, serta Guru KAFA dengan implikasi kewangan RM100.31 juta.

“Insya-Allah Bantuan Khas Kewangan Kita Selangor akan disalurkan menjelang 21 Disember ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Shah Alam hari ini, lapor BH.

Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin mengumumkan cadangan menaikkan elaun bulanan guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sebanyak RM200 daripada RM1,500 kepada RM1,700 bermula Januari 2027.

Beliau berkata, kenaikan itu membabitkan 7,245 guru KAFA lantikan kerajaan negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), merangkumi 4,303 Guru Fardu Ain Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan 2,942 guru KAFA JAKIM.

“Peningkatan elaun ini membabitkan implikasi kewangan tambahan RM14 juta yang akan ditampung oleh kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri merancang meningkatkan elaun guru KAFA lantikan negeri dan JAKIM kepada RM2,000 selaras dengan kadar gaji minimum Persekutuan baharu yang akan berkuat kuasa bermula bulan Jun 2027,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here