Selesai dulu masalah rakyat, bukan sibuk soal mahu PRU16

SEMALAM dalam Amanat Hari Malaysia di Sarawak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa ikhtiar penting demi untuk mengurangkan beban rakyat.

Antaranya penambahbaikan BUDI DIESEL yang menyaksikan pemilik berdaftar yang layak boleh memindahkan kelayakan kepada maksimum tiga individu yang benar-benar menggunakan kenderaan terlibat berkuat kuasa serta-merta.

Perdana Menteri turut mengumumkan Bantuan Khas Pembelian Tiket Penerbangan Domestik secara one-off atau sekali beri bernilai RM500 kepada setiap pelajar bahawa IPTA yang layak bagi sesi kemasukan September atau Oktober ini.

Ia akan memberi manfaat kepada 7,095 pelajar yang perlu menggunakan penerbangan domestik antara Semenanjung,Sabah ,Sarawak dan Labuan untuk memulakan pengajian masing-masing. Terdapat beberapa lagi pengumuman termasuk yang bertujuan memperkukuh hubungan strategik bersama dua-dua negeri itu.

Semalam juga Anwar dalam satu kenyataan memaklumkan satu mesyuarat khas akan diadakan hari ini bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kementerian Kewangan (MoF) bagi meneliti langkah mitigasi segera untuk mengurangkan kesan kenaikan bil elektrik terhadap isi rumah yang terlibat.

Pengumuman dan kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri membuktikan bahawa negara kini sedang berhadapan dengan cabaran khususnya dalam usaha meringankan beban rakyat. Pada masa sama kita juga masih terperangkap dengan krisis Asia Barat yang menyebabkan harga bahan api melambung.

Jika tumpuan tidak diberikan sepenuhnya kepada kedua-dua permasalahan ini, ia akan menjejaskan rakyat dan negara. Oleh itu kenyataan pemimpin UMNO dan BN bahawa parti tersebut akan kekal bersama Kerajaan Perpaduan hingga tamat penggal adalah tepat.

Walaupun ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ada desakan supaya PRU16 diawalkan namun penulis berpendapat ia tidak lagi relevan memandangkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan BN akan bersama kerajaan sehingga habis penggal dan berpegang kepada perjanjian yang dimeterai ketika penubuhan Kerajaan Perpaduan selepas PRU-15.

Lagipun dalam wawancara bersama Media Prima, Ahmad Zahid berkata,’’ Pada hemat saya, kalau pilihan raya umum diadakan lebih awal, itu lebih baik. Jadi, mandat rakyat dapat kita peroleh. Tetapi andainya jika penggal ini sehingga penghujung tempoh atau jeda waktunya, maka kita juga bersedia menghadapinya.”

Oleh itu gempak gempita dalam PAU mahu PRU16 diadakan awal sudah tidak relevan dan tak perlu dibangkitkan. Tambahan pula, mandat kerajaan masih ada setahun lebih lagi. Parlimen akan bubar dengan sendiri pada 19 Disember 2027 manakala tarikh akhir mutlak untuk buat PRU16 ialah pada 17 Februari 2028.Jadi tenang-tenang sahaja..

Penulis bersetuju dengan pandangan Naib Presiden UMNo Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa  persetujuan dan komitmen BN untuk bersama-sama memastikan kejayaan pembentukan Kerajaan Persekutuan dibuat dengan kesedaran bahawa ia penting bagi menjamin kestabilan politik negara.

Beliau berkata, komitmen BN itu tidak seharusnya dianggap sebagai sesuatu yang boleh diberikan atau ditarik balik sesuka hati, walaupun gabungan berkenaan bertanding menentang Pakatan Harapan (PH) dan PKR dalam pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini.

Justeru pemimpin BN khususnya yang berada dalam Kabinet tumpulah perhatian kepada tugas hakiki untuk membantu Perdana Menteri menguruskan negara bukannya teruja dengan kemenangan di Johor dan Negeri Sembilan sehingga mahukan PRU16 disegerakan.

Hakikatnya sekarang bukan masanya untuk diadakan PRU16 apatah lagi mahu menguji keikhlasan mana-mana parti melalui PRN yang tidak bersebab! Kalau PRN Melaka tu lainlah sebab dah sampai masa kena buat. Sekarang masa untuk bantu rakyat dan pertahan kestabilan negara memandangkan kita sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran. Masalah kos sara hidup, isu baja, isu bil elektrik dan krisis bekalan global.

Kalau sudah buat perjanjian duduk dalam kerajaan maka buatlah kerja sepertimana dijanjikan dan sama-samalah bertanggungjawab menguruskan negara. Janganlah bila kerajaan buat baik mengaku ‘’itu hasil kesediaan kami bersama kerajaan demi kebaikan rakyat’’ tetapi bila ada masalah dan menang sikit mula cakap soal kerajaan kena dapat mandat baru.

Sekadar untuk rekod, sebelum PRU15, ketika BN bergabung dalam kerajaan yang dipimpin Perikatan Nasional (PN) Ahli Parlimen UMNO tarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, lanjutan itu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri dan tidak lama kemudian beliau menerima tekanan untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU15 diadakan.

Apabila kalah teruk BN kata ia berpunca daripada tindakan lambat bubar Parlimen. Dan sekarang dengan Kerajaan Perpaduan, UMNO  minta pula PRU16 diawalkan. Bagaimana kalau PRU16 nanti perolehan kerusi BN sama sahaja dengan kedudukan pada PRU15…tak kan nak salahkan PM pula sebab buat pilihan raya sehingga tamat tempoh pemerintahan?

Apapun lupakan sahaja pasal PRU16 awal. PMX pun tak perlu layan kerana  ‘guru’ pasti lebih bijak mengatur strategi. Orang kata kebiasaannya ‘guru’ tak ajar semua ilmu kepada ‘anak murid’ walaupun ada ‘anak murid’ kata ‘dia lebih pandai’. Dari 10 ilmu pasti satu akan disimpan, kenapa? Carilah jawapannya.

Kesimpulannya, penulis berpendapat cukup-cukuplah bercakap pasal PRU16. Tiada sebab konkrit kenapa pilihan raya itu perlu diawalkan. Kalau setakat mahu mandat baru tunggulah apabila tempoh mandat kerajaan sedia ada tamat.

Tumpukanlah dengan penuh keikhlasan sepanjang berada dalam Kerajaan Perpaduan untuk membantu Perdana Menteri melaksanakan agenda demi kepetingan rakyat dan kestabilan negara.

 Lagipun BN kenalah juga selesaikan dulu isu Negeri Sembilan…rasanya di situ lebih sesuai kalau nak uji siapa ikhlas…bukan dengan parti lain tetapi dalam parti sendiri. Nampak dah berserabut dah tu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here