Seleweng dana awam: Suspek didakwa esok di Shah Alam atas 158 pertuduhan

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendakwa seorang individu di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok atas 158 pertuduhan berkaitan dengan penyelewengan dana awam berprofil tinggi menerusi Ops Sutra.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata individu berkenaan akan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati individu itu dipercayai menggunakan modus operandi dengan menubuhkan beberapa syarikat bagi kepentingan sendiri dan pihak lain.

“Individu berkenaan juga akan didakwa minggu depan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas beberapa pertuduhan berkaitan aktiviti pengubahan wang haram mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pejabat SPRM Sabah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Kota Kinabalu yang turut dihadiri Pengarah SPRM Sabah Mohd Fuad Bee Basrah.

Sementara itu, Abd Halim berkata seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah badan berkanun yang disyaki terlibat dalam kes rasuah membabitkan kira-kira RM1 juta akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 18 Jun ini.

Beliau berkata individu berkenaan bakal menghadapi tujuh pertuduhan, iaitu satu pertuduhan meminta suapan dan enam pertuduhan menerima suapan di bawah Seksyen 16 a(B) Akta SPRM 2009 bernilai keseluruhan RM450,000 menerusi enam transaksi.

Pada 13 April lepas, individu terbabit telah direman selama lima hari hingga Khamis ini.

Dalam perkembangan lain, Abd Halim berkata SPRM masih meneruskan siasatan berhubung kes kontrak kerajaan melibatkan syarikat semikonduktor Arm Holdings dan setakat ini telah merakam keterangan 26 saksi.

Beliau berkata SPRM sedang menunggu permohonan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) yang dikemukakan melalui Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan keterangan saksi yang berada di luar negara.

Abd Halim berkata selepas proses rakaman keterangan saksi itu selesai, SPRM dijangka mengambil keterangan daripada dua anggota Kabinet dan seorang bekas anggota Kabinet bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img