PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan berkaitan cadangan semakan menarik balik subsidi minyak bagi golongan berpendapatan tinggo sedang diteliti dan akan diputuskan tidak lama lagi.
Katanya, definisi kumpulan terlibat masih diperhalusi bagi memastikan pelaksanaannya tidak membebankan kelas menengah atasan dan cadangan itu sedang diteliti Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) menerusi jawatankuasa diketuai tokoh korporat, Hassan Marican.
‘’Kerajaan masih meneliti sama ada pelaksanaan itu membabitkan golongan T5, T10, T15 atau T20. Cadangan itu telah kita diteliti oleh MTEN (untuk) T20, T15 ke, memang cadangan itu telah dikaji oleh Tan Sri Hassan Marican dan pasukan.
“Mereka (MTEN) menelitinya dan kemudian timbul perbincangan sama ada ia membabitkan T5, T10, T15 atau T20 kerana kami tidak mahu ia memberi kesan kepada golongan kelas menengah atasan. Jadi mereka sedang teliti dan kita akan putuskan tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama mahasiswa India di Universiti Malaya.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr.Akmal Saleh yang menyatakan pergerakan itu akan membawa usul menarik balik subsidi petrol bagi golongan T20 ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang menjadi antara resolusi utama Rundingan Meja Bulat Nasional (Rimbun 2.0).
Semalam, Akmal berkata langkah rasionalisasi dan subsidi bersasar itu penting ketika negara berdepan cabaran ekonomi supaya bantuan dapat disalurkan kepada golongan benar-benar memerlukan, khasnya B40 dan M40.


