SEORANG pelancong India berusia 26 tahun maut manakala tiga lagi masih dirawat di hospital selepas secara misteri tidak sedarkan diri di sebuah kafe di Phuket awal pagi semalam
Menurut pihak berkuasa tempatan dalam kenyataan, kejadian berlaku di kawasan Pantai Kamala, daerah Kathu.
Pasukan kecemasan dipanggil ke sebuah kafe popular selepas empat pelancong asing rebah di premis tersebut. Tiga mangsa dibawa ke Hospital Patong manakala seorang lagi dihantar ke Hospital Thalang.
Polis kemudian melawat kedua-dua hospital dan mendapati kesemua lelaki terbabit masih tidak sedarkan diri serta tidak dapat memberikan keterangan.
Pengawal keselamatan kafe memaklumkan kepada penyiasat bahawa lima lelaki warga India tiba bersama di kafe itu kira-kira jam 11 malam Jumaat. Mereka dikenal pasti sebagai Kushagra Agarwal, Rahul Agrawal, seorang lagi lelaki yang turut bernama Rahul Agrawal, Aman Agarwal dan Aryan Verma.
Kira-kira jam 1.54 pagi, empat daripada kumpulan tersebut dilaporkan tidak sedar diri seorang demi seorang tanpa sebab yang jelas. Kakitangan kafe segera menghubungi perkhidmatan kecemasan sebelum mangsa dikejarkan ke hospital. Aryan Verma dilaporkan tidak menunjukkan sebarang simptom.
Hospital Patong kemudian memaklumkan bahawa dua lelaki berada dalam keadaan koma dan dipindahkan ke Hospital Vachira Phuket untuk rawatan lanjut. Mereka ialah Kushagra Agarwal dan salah seorang daripada dua lelaki bernama Rahul Agrawal itu.
Sekitar jam 2 petang Sabtu, polis dimaklumkan bahawa Kushagra Agarwal telah meninggal dunia. Tiga lagi mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Pihak berkuasa Thailand telah memaklumkan kejadian itu kepada Kedutaan India dan sedang bekerjasama dengan pakar forensik untuk menjalankan bedah siasat terperinci bagi menentukan punca kematian.
Siasatan polis masih diteruskan.


