AKIBAT melintas di jalan yang tidak mempunyai lintasan pejalan kaki, seorang lelaki warga New Zealand patah kaki kanan selepas dirempuh motosikal di Jalan Chow Kit menghala ke arah Sogo, Kuala Lumpur awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 2.37 pagi itu melibatkan sebuah motosikal Yamaha Y15ZR yang ditunggang lelaki tempatan berumur 26 tahun dan pejalan kaki lelaki warga New Zealand berumur 49 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kedua-dua individu sudah dikesan bagi membantu siasatan.
“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal mengalami luka kecil di tangan dan kaki manakala pejalan kaki mengalami patah kaki kanan, luka di bahagian belakang kepala serta bengkak di tangan kanan dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Setakat ini, penunggang motosikal yang cedera ringan telah dipanggil memberi keterangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pejalan kaki warga New Zealand itu melintas secara tiba-tiba di kawasan yang tidak mempunyai lintasan pejalan kaki sebelum dirempuh motosikal.
Zamzuri berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“JSPT telah menjalankan tindakan lanjut termasuk semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) selain melawat lokasi kejadian serta mendapatkan keterangan pihak terlibat,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video memaparkan keadaan di lokasi selepas kemalangan di Jalan Chow Kit menghala ke arah Sogo, awal pagi ini.


