TAN Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya menghalakan serangan politik kepada Pakatan Harapan (PH) dan bukannya terus membangkitkan kisah lama ketika bersama Pas dalam Perikatan Nasional (PN).
Ketika menegaskan perkara itu Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md.Nor mempersoalkan siapa sebenarnya bekas Pengerusi PN itu mahu lawan.
“Muhyiddin nak lawan PH atau dah jadi proksi PH untuk lawan pembangkang? Cakap terus terang supaya orang faham hala tuju beliau. Mana ada pembangkang lawan sesama pembangkang? Apa yang hendak dicapai?” katanya lapor FMT.
Kelmarin Muhyiddin yang meletak jawatan Pengerusi PN secara sukarela pada Disember lalu berkata, ejayaan Pas mencatat kemenangan terbesar dalam sejarah parti itu apabila memenangi 43 kerusi Parlimen pada PRU15 adalah hasil kerjasama politik antara Pas dan Bersatu dalam PN.
Presiden Bersatu itu berkata perkara itu dibuktikan apabila beberapa kawasan yang dimenangi Pas yang bertanding bawah PN menyaksikan peningkatan majoriti yang ketara berbanding pilihan raya sebelum ini.
Katanya, sokongan orang Melayu terhadap PN banyak dipacu oleh kerjasama PAS dan Bersatu, yang menurutnya menarik hampir 70% pengundi.
Mengulas kenyataan itu Muhammad Sanusi mengingatkan Muhyiddin bahawa kemenangan Bersatu pada PRU15 turut disumbangkan oleh kekuatan jentera, akar umbi dan pengaruh Pas.
Katanya, dengan kerja keras jentera, pimpinan dan ahli Pas membolehkan Bersatu sebagai sebuah parti yang masih baharu mampu memenangi 30 kerusi Parlimen dan beberapa kerusi DUN hingga diterima menyertai kerajaan di beberapa negeri.
“Selepas menang 30 kerusi hasil bantuan dan kerja keras jentera serta penyokong PAS, mereka (Bersatu) pula memecat Ahli Parlimen dan ADUN yang menang atas usaha orang Pas
“Patutkah begitu? Pergaduhan apa sampai perlu pecat orang? Orang yang berhati tisu sahaja buat kerja macam itu,” katanya .
Sementara itu Bendahari Pas Datuk Iskandar Abdul Samad menggesa Muhyiddin berhenti mengungkit ‘kisah lama’ kejayaan Perikatan Nasional pada PRU15, sebaliknya menumpukan perhatian kepada usaha memperkukuh parti dan kempen PRN Negeri Sembilan.
Beliau berkata ketika semua pihak sedang memberi fokus kepada PRN Negeri Sembilan, Muhyiddin sebaliknya dilihat masih bernostalgia mengenai kerjasama politik lampau antara Pas dan Bersatu.
“Kita sedang berhadapan dengan PRN, jadi fokus sekarang ialah untuk memenangi PRN. Saya hairan mengapa Muhyiddin seolah-olah tidak memberi tumpuan kepada PRN, sebaliknya sibuk bernostalgia.
“Cukuplah mengungkit kisah-kisah lama. Buktikan kemampuan dalam PRN Negeri Sembilan ini. Walau berbakul-bakul kisah lama diungkit sekalipun, ia tidak relevan dengan PRN kali ini,” katanya.






