Serpihan pesawat ATR ditemui, dipercayai rempuh gunung di Pangkep, Sulawesi Selatan, 10 terkorban

PASUKAN  mencari dan menyelamat (SAR) Indonesia  menemui serpihan badan pesawat, ekor serta tingkap pesawat ATR 42-500 milik Indonesia Air Transport di lereng Gunung Bulusaraung, daerah Pangkep, Sulawesi Selatan, hari ini.

Siasatan awal oleh Komite Nasional Keselamatan Transportasi (KNKT) Indonesia mendapati pesawat berkenaan dipercayai mengalami controlled flight into terrain (CFIT), iaitu keadaan apabila pesawat yang masih berada dalam kawalan juruterbang merempuh permukaan bumi atau cerun gunung.

Ketua KNKT, Soerjanto Tjahjono, berkata hasil dapatan awal menunjukkan pesawat masih boleh dikendalikan ketika kejadian, namun telah melanggar lereng gunung dalam satu perlanggaran yang tidak disengajakan.

“Pesawat masih berada dalam kawalan juruterbang, tetapi telah melanggar cerun gunung,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Sultan Hasanuddin, Makassar.

Menurut beliau, kategori CFIT menunjukkan pesawat berada dalam keadaan teknikal yang baik, namun atas sebab-sebab yang masih dalam siasatan, pesawat berkenaan meneruskan penerbangan sehingga merempuh kawasan berbukit.

Pesawat berdaftar PK-THT yang disewa oleh Kementerian Kelautan dan Perikanan (KKP) itu dilaporkan putus hubungan ketika dalam penerbangan dari Yogyakarta ke Makassar semalam.

Pesawat tersebut membawa 10 individu terdiri daripada tujuh kru dan tiga penumpang. Setakat ini, tiada mangsa ditemui, namun penemuan serpihan pesawat berkenaan telah membantu pasukan SAR mempersempit kawasan pencarian dan menumpukan operasi di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, KNKT menegaskan bahawa punca sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Kita masih menyiasat punca kejadian. Yang pasti, pesawat ini telah merempuh cerun gunung dalam keadaan terkawal,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img