AHLI perniagaan, Albert Tei dan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya awal pagi ini untuk prosiding permohonan reman mereka.
Kedua-dua mereka dibawa secara berasingan ke mahkamah, dalam keadaan bergari dan memakai pakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna jingga.
Shamsul Iskandar dilihat berdiam diri ketika berjalan menuju ke mahkamah manakala Albert beberapa kali melaung.
“Inilah akibat melawan pemimpin tertinggi. Siapa lagi berani mendedahkan salah laku pemimpin tertinggi.
“Menghina negara ini,” katanya, lapor Malaysiakini.

Semalam, SPRM menahan Shamsul Iskandar, Tei dan Sofia Rini Buyong berhubung siasatan dakwaan rasuah melibatkan lesen prospek perlombongan di Sabah.
Shamsul Iskandar dan Sofia Rini ditahan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya selepas memberikan keterangan manakala Albert diberkas di rumahnya di Puchong.
SPRM memaklumkan telah memperoleh perintah reman empat hari terhadap Sofia Rini, yang didakwa sebagai proksi Shamsul Iskandar daripada Mahkamah Majistret Putrajaya semalam.


