Sindiket penipuan: 34 warga asing termasuk seorang warga Malaysia diusir dari Vietnam

SERAMAI 34 warga asing, termasuk seorang rakyat Malaysia, telah diusir dari Vietnam selepas pihak berkuasa berjaya mematahkan satu operasi yang dipercayai berkaitan sindiket penipuan dalam talian di bandar sempadan Mong Cai, yang bersempadan dengan China.

Operasi tersebut dijalankan hasil kerjasama antara pihak polis dan pegawai pengurusan imigresen. Dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Mong Cai, pihak berkuasa menemui kesemua 34 individu itu menetap secara haram.

Mereka terdiri daripada seorang rakyat Malaysia, dua rakyat China dan 31 rakyat Filipina.

Dalam serbuan itu, pihak berkuasa turut merampas sejumlah besar peralatan elektronik yang dipercayai digunakan untuk operasi dalam talian, termasuk 75 telefon bimbit, 31 komputer riba, tujuh komputer meja, sebuah tablet, selain pelbagai peranti rangkaian, kabel dan pengecas, lapor  media Vietnam.

Menurut siasatan awal, kesemua peralatan tersebut telah dipasang dan disediakan oleh individu yang merekrut mereka sebelum mereka tiba di Vietnam.

Kumpulan itu memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa mereka pada asalnya memasuki Vietnam sebagai pelancong sambil mencari peluang pekerjaan yang sah.

Mereka kemudian dihubungi oleh individu dipercayai warga China yang tidak dikenali melalui aplikasi pesanan seperti Telegram, WeChat dan Viber. Perekrut berkenaan menawarkan pekerjaan bergaji lumayan dalam bidang jualan dalam talian dan khidmat pelanggan, sebelum memberikan arahan secara jarak jauh supaya mereka menuju ke Mong Cai untuk memulakan pekerjaan tersebut.

Menurut pihak polis, operasi itu berjaya dipatahkan sebelum sebarang kegiatan penipuan sempat dilakukan.

Kesemua 34 individu berkenaan memberikan kerjasama penuh kepada penyiasat dengan menyalurkan maklumat yang membantu usaha mengenal pasti serta melumpuhkan rangkaian jenayah yang lebih besar.

Selepas siasatan selesai, dua warga China dihantar pulang melalui Pintu Sempadan Antarabangsa Mong Cai, manakala seorang rakyat Malaysia bersama 31 rakyat Filipina dihantar pulang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai di Hanoi.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img