SINDIKET perjudian dalam talian yang berselindung di sebalik beberapa syarikat berdaftar dengan nilai pertaruhan dianggarkan RM27 juta sehari tumpas.
Sindiket dipercayai beroperasi sejak enam bulan lalu itu tumpas, selepas polis menyerbu 19 premis perniagaan dan kediaman di sekitar ibu kota serta Selangor menerusi Op SOGA XI pada 16 Julai lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, seramai 161 individu berusia antara 19 hingga 62 tahun ditahan pada operasi berkenaan.
Beliau berkata, mereka membabitkan 106 lelaki dan 55 wanita, termasuk enam warga asing serta lima lelaki tempatan yang berperanan sebagai pengarah dan pemegang saham syarikat berusia antara 34 hingga 45 tahun.
“Sindiket ini membangunkan aplikasi sendiri sebelum mempromosikannya kepada pengguna tempatan untuk membuat pertaruhan bola sepak dan perjudian lain.
“Mereka turut menyasarkan pasaran luar negara termasuk negara jiran, tetapi semua pertaruhan dikawal sindiket tempatan yang beroperasi dari negara ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, hari ini, lapor Buletin TV3.
Kumar berkata, walaupun menggunakan beberapa nama syarikat berbeza, siasatan awal mendapati semua premis itu dipercayai dikendalikan satu sindiket.
Beliau berkata, syarikat berkenaan beroperasi seperti perniagaan biasa berkaitan komputer dan menggaji kakitangan sendiri, namun kegiatan sebenar di sebalik jenama digunakan adalah perjudian dalam talian.
“Kebiasaannya, tangkapan dibuat melibatkan individu atau kumpulan kecil, tetapi kali ini mereka beroperasi menggunakan syarikat. Kita percaya lima pengarah atau pemegang saham yang ditahan termasuk individu yang bertindak sebagai operator atau dalang sindiket,” katanya.
Kumar memberitahu sindiket itu bukan hanya menawarkan pertaruhan Piala Dunia 2026, malah menyediakan perjudian dalam talian lain termasuk permainan rolet.
Katanya, sindiket terbabit mengambil kesempatan daripada kejohanan Piala Dunia untuk menarik lebih ramai pengguna menggunakan aplikasi mereka.
Pada serbuan itu, polis merampas 182 komputer, 137 komputer riba pelbagai jenama, 152 telefon bimbit dan modem, penghala, dekoder serta kad bank.
Operasi itu dilaksanakan Bahagian D7 JSJ Bukit Aman dengan bantuan JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Selangor serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
M Kumar berkata, polis bekerjasama dengan MCMC sejak Op SOGA bermula pada 11 Jun lalu bagi memantau portal, laman sesawang dan akaun media sosial yang mempromosikan perjudian.
Katanya, pemantauan merangkumi platform seperti Facebook dan TikTok, dengan sebahagiannya diturunkan, manakala siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti pemiliknya.
“Antara hasil pemantauan dan risikan bersama itu membawa kepada kejayaan operasi serta tangkapan sindiket ini. Kita masih mengesan individu lain dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan.
“Sebanyak 14 kertas siasatan dibuka, masing-masing lima di Kuala Lumpur dan sembilan di Selangor. Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4(1)(e) Akta Pertaruhan 1953, Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 serta Seksyen 120B Kanun Keseksaan kerana pakatan jenayah,” katanya.
Mengulas pencapaian keseluruhan Op SOGA dari 19 Jun hingga 20 Julai lalu, M Kumar berkata, sebanyak 649 serbuan dilaksanakan dengan 945 individu ditahan, tidak termasuk 161 tangkapan dalam serbuan terbaru itu.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 835 adalah lelaki dan 110 wanita, manakala wang tunai kira-kira RM199,000 dirampas.
Katanya, nilai pertaruhan dikenal pasti sepanjang operasi itu dianggarkan RM35 juta sehari.
“Polis dan MCMC turut mengesan 637 laman sesawang mempromosikan aktiviti perjudian sepanjang kejohanan Piala Dunia. Sebahagian laman sesawang termasuk yang beroperasi dari luar negara sudah diturunkan, manakala selebihnya dalam proses untuk disekat,” katanya.
Kumar berkata, polis tidak berkompromi dengan sebarang kegiatan perjudian dan operasi seumpama itu akan diteruskan.






