TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, Skuad Agrikomoditi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bukan sekadar turun membawa risalah atau menyampaikan maklumat.
Sebaliknya, tegas beliau, skuad ini mesti menjadi jentera advokasi yang mengubah persepsi, membawa fakta, menyampaikan kisah kejayaan dan meyakinkan rakyat bahawa agrikomoditi adalah sektor yang moden, bermaruah dan bernilai tinggi.
‘’Skuad Agrikomoditi mesti menjadi kekuatan baharu di akar umbi. Ia bukan sekadar pasukan advokasi, tetapi jaringan lapangan yang menyambung dasar kerajaan dengan realiti pekebun kecil, pengusaha dan komuniti desa,’’ katanya Majlis Peluncuran Skuad Agrikomoditi KPK di Kajang hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mahu skuad itu digerakkan secara berperingkat di setiap Parlimen, khususnya di kawasan yang mempunyai kekuatan sawit, getah, koko, lada, kenaf dan perkayuan.
‘’ Di sinilah dasar mesti diterjemah. Di sinilah maklumat mesti sampai. Di sinilah perubahan mesti bermula. Peranannya mesti jelas: turun bertemu pekebun kecil, menyampaikan maklumat kerajaan, menghubungkan komuniti dengan agensi, menggalakkan belia menyertai TVET Pertanian, dan membawa semula maklum balas rakyat kepada kementerian,’’ katanya.
Beliau juga mahu skuad itu mengangkat kisah kejayaan di lapangan seperti bagaimana banyak pekebun kecil sudah berubah dan banyak anak muda mula menggunakan teknologi serta anyak komuniti sedang bergerak.
‘’Cerita seperti ini mesti diangkat supaya rakyat melihat agrikomoditi sebagai sektor yang hidup, moden dan bernilai masa depan,’’ katanya.
Ahmad Zahid berkata, skuad itu mesti mempunyai pelan gerak kerja yang tersusun dan dipacu oleh data.
‘’Kita mesti tahu kawasan mana perlu diberi tumpuan, siapa kumpulan sasar, apa isu utama pekebun kecil, berapa ramai belia boleh digerakkan ke TVET Pertanian, dan intervensi apa yang paling berkesan.
‘’Percayalah, ukuran kejayaan skuad ini bukan pada jumlah aktiviti, tetapi pada kesan yang ditinggalkan. Skuad ini mesti menjadi suara, mata dan tangan kerajaan di akar umbi — supaya agenda agrikomoditi tidak sekadar bergema di dewan, tetapi benar-benar mengakar di ladang, di kebun dan dalam kehidupan rakyat,’’ katanya.
Sementara itu dalam ucapan beliau, Menteri Perladangan dangan Komoditi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menggariskan perbezaan skuad itu dengan program lain.
Katanya, skuad tersebut adalah Pejuang Ekonomi. Jika inisiatif lain mungkin lebih tertumpu kepada hal ehwal kebajikan sosial yang umum.
‘’Fokus skuad kita jauh lebih tajam, iaitu memastikan ekonomi dan poket rakyat, terutamanya para pekebun kecil, terus berdaya saing dan terbela,’’ katanya.
Kedua pula kata beliau, skuad itu bersifat Merentas Sektor dan Generasi.
‘’ Dalam skuad ini kita gabungkan ketegasan dan disiplin pesara tentera, kita adunkan dengan ketahanan dan pengalaman teknikal abang-abang pekebun kecil kita, dan kita suntik pula dengan semangat wanita serta daya kreativiti luar biasa mahasiswa universiti. Ia membentuk satu ekosistem bimbingan bersilang yang sangat dinamik dan harmoni,’’ katanya
Menurut Noraini, paling penting sedang mengubah persepsi dan misinya adalah untuk Menjenamakan Semula Sektor Agrikomoditi.
‘’Sudah terlalu lama industri ini dibelenggu dengan stigma 3D, Dangerous, Dirty, Difficult (Bahaya, Kotor, Sukar).Kita mahu ubah stigma ini kepada imej baharu 3S yang kita banggakan iaitu Skills berkemahiran, Sustainable mampan dan Safety selamat,’’ katnya.


