AHLI perniagaan yang muflis, Sofia Rini Buyong, 50, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan memfitnah ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menerusi rakaman video, April lalu.
Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.
Mengikut pertuduhan, Sofia Rini didakwa memfitnah Farhash dengan menuturkan bahawa mangsa yang kini warga Turkiye mencuri wang dan menghantarnya ke luar negara termasuk Turkiye dan Afrika.
Kenyataan yang didakwa boleh merosakkan nama baik mangsa itu dibuat menerusi rakaman video pada jam 6.30 petang, 26 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.
Bagaimanapun, peguam Shugan Raman yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM500 atas alasan anak guamnya menghidap penyakit darah tinggi dan diabetes.
“Tertuduh yang tinggal bersama ibunya sejak suaminya meninggal dunia pada 2025 menanggung seorang anak lelaki. Tertuduh juga telah muflis dan kini tiada pekerjaan tetap.
“Tertuduh berada di bawah jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan jaminan sebanyak RM10,000 telah dibayar kepada SPRM, menyebabkan wangnya disekat di situ.
“Jumlah jaminan RM15,000 yang dicadangkan pihak pendakwaan berada di luar kemampuannya,” katanya.
Mohamad Fadhly kemudian berkata jumlah jaminan dicadangkan pihak pendakwaan adalah munasabah berdasarkan pertuduhan dan jumlah terlalu rendah boleh meningkatkan risiko tertuduh melarikan diri.
Majistret Nurul Izzah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 28 Ogos ini.






