BAHAGIAN Penyiasatan Tatakelola (BPT) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membentangkan 13 syor penambahbaikan tatakelola terhadap Labuan Financial Services Authority (Labuan FSA) dan Labuan International Business and Financial Centre Incorporated Sdn. Bhd. (Labuan IBFC Inc.)
SPRM dalam kenyataan memberitahu, penyiasatan tatakelola oleh BPT SPRM memberi tumpuan terhadap Pengurusan Tadbir Urus Korporat terhadap kedua-dua entiti dalam isu yang melibatkan aspek kewangan, polisi dan dasar serta pengurusan pentadbiran dalaman agensi.
‘’Syor penambahbaikan tatakelola yang dicadangkan memberi penekanan kepada aspek ketelusan proses kerja, pemerkasaan mekanisme kawalan dalaman, pematuhan terhadap prosedur, pengurusan risiko, pemantauan lebih sistematik serta pengukuhan jejak audit bagi setiap keputusan dan tindakan yang dilaksanakan,’’ kata kenyataan itu,
Menrut kenyataan tersebut, selain itu, syor yang dikemukakan menekankan kepentingan ketelusan dalam proses kerja, pemerkasaan mekanisme kawalan dalaman, pematuhan terhadap prosedur, pengurusan risiko serta pemantauan yang lebih sistematik.
‘’Ia turut merangkumi pengukuhan jejak audit bagi setiap keputusan dan tindakan yang dilaksanakan bagi memastikan urusan pengurusan, pentadbiran dan pembuatan keputusan dilaksanakan secara jelas, teratur dan telus.
‘’Langkah itu juga penting bagi memastikan mekanisme semak dan imbang dapat dilaksanakan dengan berkesan, selain memperkukuh tahap akauntabiliti dalam pengurusan organisasi,’’ kata kenyataan berkenaan.
Kesemua syor telah dibentangkan oleh Ketua Cawangan Task Force BPT SPRM, PPj Fadlyzal Mohd Zain di Bilik Mesyuarat Kasumiga Labuan FSA, Menara Utama, Financial Park Complex, Labuan hari ini.
Persetujuan ini dizahirkan menerusi pemeteraian Laporan Penambahbaikan Tatakelola yang ditandatangani bersama antara Timbalan Pengarah II BPT SPRM, Norazlina Abd Rahim; Pengarah Urusan Labuan FSA, Affendi Rashdi; dan Ketua Pegawai Eksekutif Labuan IBFC Inc., Ben Quah. Turut hadir Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Labuan, Muhammat Azis Malmod.





