SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang merangka pembangunan Hab Gudang Sita Kekal Mengikut Zon bagi memastikan pengurusan barang kes dan harta sitaan dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik serta selamat.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Junipah Wandi berkata, perancangan kemudahan itu mengambil kira peningkatan kapasiti penyimpanan seiring dengan perkembangan operasi suruhanjaya berkenaan.
“Perancangan ini perlu melihat kepada keperluan SPRM bukan sahaja untuk masa kini, tetapi juga mengambil kira perkembangan operasi pada masa akan datang.
“Setiap spesifikasi yang ditetapkan perlu benar-benar memenuhi keperluan pengurusan barang kes dan harta sitaan, termasuk aspek keselamatan, fungsi serta penggunaan ruang secara optimum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Spesifikasi dan Anggaran Kos Awalan Projek Pembinaan Gudang Sita Zon SPRM di SPRM Melaka di Alai hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Kewangan, Akaun dan Pembangunan SPRM, Siti Nor Minu serta Arkitek Penguasa Kanan JKR, Mohd Amir Mohd Dali.
Menurut Junipah, cadangan pembangunan kemudahan tersebut turut mengambil kira hasrat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman pada Julai lalu supaya suruhanjaya berkenaan mempunyai kemudahan sendiri yang berfungsi sebagai hab mengikut zon.
“Cadangan ini selari dengan hasrat Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Julai lalu supaya kemudahan sendiri dibangunkan sebagai hab mengikut zon yang ditetapkan,” katanya.
Katanya, Gudang Sita Kekal Mengikut Zon akan menyediakan ruang khusus yang lebih tersusun bagi menempatkan serta mengurus barang kes dan harta yang disita SPRM.
“Penglibatan Pakar Bidang Khusus (SME) SPRM dan Jabatan Kerja Raya (JKR) penting bagi memastikan keperluan operasi diterjemahkan kepada perancangan ruang serta spesifikasi teknikal yang bersesuaian,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Junipah turut mengadakan lawatan ke tapak cadangan Gudang Sita bagi Zon Selatan yang terletak bersebelahan Pejabat SPRM Melaka, semalam.
Tapak berkenaan dirancang menempatkan kemudahan dengan kapasiti kira-kira 150 petak untuk kenderaan sitaan, selain menjadi asas awal dalam menentukan keperluan pembangunan gudang tersebut.
Gudang berkenaan juga dirancang untuk menyimpan pelbagai barangan berkaitan siasatan seperti kenderaan, dokumen, peralatan elektronik dan aset lain sehingga sesuatu kes mendapat keputusan mahkamah, melalui proses pelucuthakan atau pelupusan.
Bagi memenuhi keperluan sementara, SPRM turut mencadangkan penyediaan tapak penyimpanan sementara di Kuala Lumpur sehingga projek gudang kekal siap sepenuhnya.
Bengkel berkenaan turut membincangkan penyediaan Need of Statement yang meliputi keperluan ruang serta spesifikasi pembangunan kemudahan berdasarkan empat zon iaitu Zon Tengah, Zon Timur, Zon Utara dan Zon Selatan.
Selain itu, bengkel berkenaan turut bertujuan mendapatkan Anggaran Kos Awalan (AKA) bagi projek yang dirancang.





