SPRM Sarawak bakal terima pejabat baharu lengkap gudang sitaan

SURUHAN Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bakal membina pejabat moden serba baharu dilengkapi gudang sitaan bagi operasi di Sarawak.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, aset baharu itu penting dalam mempertahankan prinsip tegas dalam tindakan, adil dalam pertimbangan dan berintegriti dalam setiap keadaan.

DATUK Seri Abd Halim Aman (duduk tengah) bergambar bersama pengurusan tertinggi dan kakitangan SPRM Sarawak ketika mengadakan lawatan rasmi ke pejabat SPRM Sarawak di Kuching hari ini. GAMBAR: SPRM

“Warga SPRM Sarawak perlu terus mempertahankan prinsip tegas dalam tindakan, adil dalam pertimbangan dan berintegriti dalam setiap keadaan.

“Usaha membanteras rasuah juga tidak seharusnya hanya tertumpu kepada tindakan penguatkuasaan selepas sesuatu kesalahan berlaku, sebaliknya aspek pencegahan dan pendidikan perlu terus diperkasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Abd Halim turut merakamkan penghargaan kepada warga SPRM Sarawak pada Majlis Penyampaian Amanat Ketua Pesuruhjaya SPRM Bersama Pegawai Kanan SPRM Sarawak di Kompleks Pejabat SPRM Sarawak di Kuching, hari ini.

Turut hadir, Pengarah SPRM Sarawak, Datuk Hasbilah Mohamad Salleh yang turut menyampaikan taklimat berkaitan aspek perjawatan dan pengurusan sumber manusia, prestasi perbelanjaan mengurus, inisiatif pendidikan masyarakat serta perkembangan semasa operasi.

Taklimat itu turut memperincikan cadangan pembinaan Kompleks Pejabat SPRM Sarawak baharu yang bakal dilengkapi gudang sitaan selain pelbagai fasiliti pejabat moden dan kondusif bagi menyokong keperluan operasi SPRM Sarawak.

Sesi diakhiri dengan lawatan ke ruangan pameran barang kes dan lokap SPRM Sarawak serta lawatan ke tapak cadangan pembangunan pejabat SPRM Sarawak yang baharu di Jalan Diplomatik, Petra Jaya.

Turut hadir Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Hisyam Mohd Yusoff dan Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Sarawak, Katherine Nais.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here