SEPASANG suami isteri ditahan bersama 44.3kg bunga ganja dan 5.6kg ganja berjumlah RM3.56 juta di Kudat bulan lalu, yang merupakan rampasan bunga ganja pertama di Sabah.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun, berkata lelaki tempatan berusia 35 tahun itu ditahan di gelanggang bola tampar Kampung Tanjong Kapor kira-kira 4.40 petang, manakala isterinya yang juga warga asing 32 tahun ditahan kira-kira 10 minit kemudian di tepi jalan kampung sama.
Katanya, penahanan pasangan itu susulan maklumat Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Sabah.
“Kedua-dua suspek dibawa ke IPD Kudat bersama empat bungkusan plastik disyaki mengandungi bunga ganja dan ganja,” katanya lapor Berita Harian pada sidang media di Kota Kinabalu.
Jauteh berkata, pemeriksaan lanjut menemui 75 peket plastik disyaki mengandungi bunga ganja seberat 44.3kg serta 10 peket plastik disyaki ganja seberat 5.6kg yang dianggarkan bernilai RM3.56 juta dan dipercayai mampu menampung kira-kira 99,800 penagih.
Beliau berkata, saringan awal air kencing suspek lelaki yang mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah dan Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) itu positif methamphetamine dan amphetamine, manakala isterinya negatif dadah serta tiada rekod lampau.
Katanya, pasangan itu sudah dihadapkan ke mahkamah Kudat pada 28 Ogos lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.





