SULTAN Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan sedalam-dalam ucapan takziah kepada waris lima sekeluarga yang meninggal dunia dalam tragedi kebakaran di Kampung Pamah Kulat, Dong, Raub awal pagi tadi.
Baginda berdua turut menzahirkan rasa dukacita di atas kejadian tersebut dan berharap seluruh ahli keluarga kesemua mangsa dikurniakan ketabahan dalam menghadapi ketentuan dan takdir Allah SWT.
Baginda berdua turut mendoakan agar roh kesemua mangsa yang meninggal dunia di dalam bulan Ramadan yang mulia ini dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan hamba Allah yang dikasihi.
Lima sekeluarga terdiri daripada suami isteri dikenali sebagai Mohd Allawi Mohammad, 57, dan Zaleha Ibrahim, 45, serta tiga anak mereka Ruby Batrisya, 17, Ruby Adlina Banin, 14, dan Ruby Azian Barizah, 9, dilaporkan meninggal dunia dalam kejadian kebakaran yang berlaku kira-kira 3.45 pagi tadi.
*Salah seorang pelajar MRSM Bentong
Sementara itu, Pengerusi Mara Datuk Dr Aysraf Wajdi Dusuki berkata seorang daripada mangsa ialah pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong.
Menerusi perkongsian di Facebook hari ini, Asyraf Wajdi berkata mangsa Ruby Adira Batrisya Mohd Alawi, 17, sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Saya amat terkesan dan dukacita atas insiden awal pagi tadi melibatkan seluruh keluarga Allahyarham. Lebih menyentuh hati, kakaknya terselamat kerana sedang menuntut di matrikulasi manakala adiknya di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Dong.
“Pastinya ujian ini terlalu berat untuk dipikul, kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata apatah lagi melibatkan hampir seluruh ahli keluarga,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata Mara akan menghulurkan bantuan sewajarnya dan memastikan kebajikan ahli keluarga yang ditinggalkan diberi perhatian dan mendapat sokongan diperlukan dalam tempoh sukar itu.


