SYARIKAT diasaskan suami selebriti Heliza Helmi, Datuk Mahadi Badrul Zaman iaitu AUF MBZ Consortium PLT (AUF MBZ), didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, terhadap dua tuduhan berniaga dalam sekuriti tanpa lesen.
Bagaimanapun AUF MBZ selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi. Syarikat berkenaan hari ini diwakili Mahadi.
AUF MBZ didakwa dengan dua tuduhan menjalankan urusan aktiviti terkawal iaitu berniaga dalam sekuriti sedangkan ia bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan berdaftar bagi aktiviti terkawal berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Sunway South Quay, Subang Jaya, Selangor antara 14 Jun 2021 dan 15 Februari 2024, mengikut subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, dan boleh dihukum mengikut subseksyen 58(4) akta sama.
Jika disabitkan, AUF MBZ boleh didenda tidak melebihi RM10 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali, lapor Harian Metro.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti (SC), K Mageswary berkata, pihaknya tidak menawarkan sebarang jaminan kerana pertuduhan dibuat terhadap syarikat dan bukannya individu.
Beliau kemudian memohon dua tuduhan itu dipindahkan ke mahkamah lain di hadapan Hakim Azrul Darus dan Hakim Norma Ismail, untuk dibicarakan bersama dengan kes membabitkan Mahadi.
Peguam Datuk Mohd Zamri Mohd Idrus yang mewakili syarikat tidak membantah terhadap permohonan berkenaan.
Izralizam kemudian membenarkan permohonan itu dan menetapkan sebutan semula kes pada 10 April ini.
Pada 23 Februari lalu, Mahadi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap dua pertuduhan sama.


