Suri rumah dan teman lelaki didakwa cuba bunuh suami

SEORANG suri rumah dan rakan lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan cubaan membunuh suami wanita terbabit.

Tertuduh wanita, N Egavalli, 46, dan R Kamala Sarna, 38, seorang penganggur masing-masing bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Kedua-dua mereka didakwa bersama-sama melakukan cubaan membunuh Kumaresan Ganapathy, 48, dengan cara menutup muka menggunakan sebiji bantal yang boleh menyebabkan kematian, pada jam 9.30 malam 22 Disember lalu di 27, Jalan EJ 9/6, Taman Ehsan Jaya, Johor Bahru.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya R Nevina, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, K Bharathi, lapor Harian Metro.

Terdahulu, Nevina mencadangkan tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh kerana cubaan membunuh adalah kesalahan berat.

Bharathi bagaimanapun memohon jaminan dengan alasan wanita itu memiliki dua anak autistik (non verbal autism) yang berusia 17 dan 21 tahun yang memerlukan penjagaan.

Bharati juga menyatakan tiada alasan bagi wanita berkenaan melarikan diri atau menghilangkan diri kerana memiliki anak orang kurang upaya (OKU) serta mohon jaminan dengan syarat tambahan ditetapkan mahkamah.

Suami tertuduh yang bekerja di sebuah gudang di Changi, Singapura dan berpendapatan SG2,500 (RM7,900) dinyatakan hanya pulang bekerja pada waktu malam.

Bharathi juga menyatakan Kamala Sarna turut memiliki seorang anak serta isterinya berusia 38 tahun bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital swasta dengan pendapatan RM7,000 sebulan.

Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Mohd Zamir Suhaimee membenarkan jaminan RM20,000 dengan dua penjamin bagi setiap tertuduh, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran.

Beliau mengarahkan tertuduh daripada mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan selain menetapkan 3 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu penyerahan dokumen.

Media semalam melaporkan polis menahan dua individu termasuk seorang wanita dan teman lelakinya bagi membantu siasatan cubaan bunuh suami wanita berkenaan di kediaman keluarga di Taman Ehsan Jaya.

Kedua-duanya ditahan polis sehari selepas kejadian pada 22 Disember lalu dan dipercayai ada kaitan dengan wang tuntutan insurans.

Siasatan lanjut mendapati isteri mangsa membenarkan teman lelakinya masuk ke dalam rumah semasa mangsa sedang tidur dan memegang kaki mangsa supaya teman lelakinya dapat menekup muka mangsa sehingga menyebabkan sesak nafas.

Hasil siasatan juga mendapati dalam tempoh kira-kira seminggu sebelum kejadian, isteri mangsa kerap bertanyakan mengenai jumlah wang dan syarikat insurans yang dicarumkan mangsa.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img