SEORANG suspek lelaki berusia 37 tahun yang disyaki membunuh isterinya, seorang pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di kuarters KLIA Nilai pada 15 Oktober lalu akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban esok.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, suspek akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.
“Susulan arahan pertuduhan yang diperoleh, suspek yang disyaki terbabit dalam kes kematian seorang pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), pertengahan bulan ini dijangka dituduh esok.
“Suspek akan dibawa ke Majistret Seremban untuk berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor BH.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam pada 15 Oktober lalu, mangsa, Norhazwani Ibrahim, 35, ditemukan maut di kediaman mereka di kuarters kakitangan awam berhampiran KLIA.
Suspek yang dipercayai baru dibebaskan dari penjara selepas menjalani hukuman berkaitan kesalahan dadah dikatakan menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang sejurus kejadian.
Motif kejadian dipercayai berkaitan perselisihan rumah tangga selepas mangsa dikatakan meminta cerai daripada suspek. Permohonan perceraian itu difahamkan telah difailkan ketika lelaki berkenaan masih menjalani hukuman penjara.
Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat tekanan pada leher. Pemeriksaan turut menemukan kesan tikaman pada bahagian perut dan pipi mangsa.





