SEORANG wanita cedera parah selepas tersepit di tempat duduk pemandu dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 1.3 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 pagi itu, mangsa berusia 45 tahun yang memandu Toyota Hilux mengalami kecederaan di bahagian kepala, kaki dan tangan.
Suaminya, 47, yang turut berada dalam kenderaan itu mengalami kecederaan ringan manakala pemandu sebuah Honda BR-V berusia 38 tahun turut cedera ringan di kepala.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.49 pagi.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai kemudian dikejarkan ke lokasi dengan bantuan anggota dari BBP Jalan Perak.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah Toyota Hilux dan Honda BR-V dengan tiga individu terlibat.
“Anggota bomba menjalankan operasi menyelamat bagi mengeluarkan wanita yang tersepit di tempat duduk pemandu Toyota Hilux menggunakan peralatan khas.
“Mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pasukan Bulan Sabit Merah untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.





