DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia akan terus mengalu-alukan kemasukan pelaburan asing, namun pada masa sama tidak akan mengetepikan hak serta peluang usahawan kecil tempatan.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa syarikat luar negara tidak sepatutnya menguasai sektor perniagaan harian yang mampu diusahakan rakyat tempatan seperti kedai kopi, kedai gunting rambut dan restoran.
Menurut beliau, pelaburan berskala besar dan pemindahan teknologi baharu dari luar memang diperlukan, tetapi ruang rezeki untuk pengusaha tempatan mesti kekal dilindungi.
Isu berkenaan turut dibangkitkan beliau secara terus dalam pertemuan dengan Perdana Menteri China, Li Qiang susulan timbulnya keresahan dalam kalangan peniaga kecil berikutan persaingan ketat daripada platform e-dagang luar.
“Saya bawa pelaburan asing, tapi saya tak mengganggu peniaga-peniaga kecil. Untuk kedai kopi, kedai rambut, saya tak mahulah orang asing. Kita boleh buat sendiri, kita bagi galakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Skim Usahawan Bangkit di Dewan Kompleks Persekutuan Mua’dzam Shah, Bangunan Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Alor Setar hari ini.
Anwar turut mendedahkan bahawa kebimbangan terhadap tekanan harga barangan luar yang dijual menerusi platform digital kini disuarakan oleh peniaga tempatan daripada pelbagai kaum, termasuk masyarakat Cina.
Bagi menangani isu tersebut, beliau berkata, kerajaan kini dalam proses memuktamadkan langkah susulan demi memelihara kelangsungan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan.





