KEMENTERIAN Komunikasi masih menilai tahap pematuhan platform media sosial berlesen terhadap dua kod di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang mula berkuat kuasa pada 1 Jun lepas, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Beliau berkata dua kod berkenaan ialah Kod Pengurangan Risiko (RMC) dan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) yang diterbitkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memperkukuh keselamatan dalam talian, termasuk melindungi kanak-kanak daripada kandungan berbahaya.
Teo berkata kod itu menetapkan tanggungjawab kepada penyedia platform media sosial berlesen, iaitu platform yang mempunyai lebih lapan juta pengguna di Malaysia untuk mematuhi keperluan keselamatan yang ditetapkan.
“Di bawah kod ini, memang tanggungjawab diletakkan kepada penyedia platform berlesen. MCMC bersama penyedia platform ini akan mengadakan perbincangan bagi melihat tahap pematuhan mereka.
“Sekarang kita masih dalam peringkat penilaian untuk melihat tahap pematuhan mereka dan kita berharap dapat melihat pematuhan yang baik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Muzikal “Kalapadam” MINNALfm dan Karnival Kempen Internet Selamat di Kulai hari ini.
Mengenai Program Muzikal “Kalapadam”, Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata penganjuran semula program itu bertujuan membuka lebih banyak peluang kepada artis tempatan, khususnya penggiat seni berbahasa Tamil untuk membuat persembahan di pentas RTM.
Beliau berkata program yang pernah popular dalam kalangan masyarakat India itu dihidupkan semula selepas menerima maklum balas daripada penggiat industri seni yang berharap ia diteruskan.
“Apabila saya bertemu dengan persatuan artis Tamil, mereka menyuarakan harapan supaya program ini dikembalikan kerana ia mampu menyediakan lebih banyak peluang kepada artis tempatan untuk membuat persembahan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata tiga projek perintis akan dilaksanakan bagi menguji sambutan orang ramai terhadap program berkenaan dengan Kulai dipilih sebagai lokasi pertama, manakala dua lagi lokasi sedang dikenal pasti.
“Sekiranya kita menerima sambutan yang menggalakkan, saya percaya peluang untuk memperluas program ini ke lebih banyak lokasi pada tahun depan adalah amat cerah,” katanya.
Pada majlis sama, Teo berkata Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) turut menyampaikan bantuan kepada lima artis kelahiran Johor menerusi Program Ziarah Seni MADANI@FINAS.
Beliau berkata program yang dilaksanakan sejak 2023 itu telah memanfaatkan sebanyak 183 penerima dengan keseluruhan sumbangan berjumlah RM144,900.






