PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menafikan dakwaan kononnya beliau mempunyai agenda untuk menjatuhkan Menteri Besar atau Institusi Diraja Negeri Sembilan.
Menurutnya, adalah tidak berasas untuk beliau melakukan perkara seumpama itu selepas Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Sabtu lalu.
“Pilihan raya dah selesai dan saya pun tidak memegang jawatan Menteri Besar selain sudah nyatakan hasrat tidak mahu menerima sebarang jawatan Exco.
“Jadi, apa lagi masalahnya?. Kenapa berterusan tuduh saya?. Kalau betul segala dakwaan dinyatakan, tunjukkanlah bukti,” katanya hari ini, lapor Sinar Harian.
Beliau mengulas dakwaan terlibat dalam usaha memaksa Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim untuk menandatangani dokumen menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang itu berkata, keputusan seramai 14 ADUN BN-UMNO menarik sokongan terhadap Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar sebelum ini disebabkan telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan beliau dalam mengemudi pentadbiran negeri susulan krisis institusi adat yang sedang berlaku.
Tegasnya, ia tiada kaitan langsung untuk menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan seperti mana tuduhan sesetengah pihak.
“Tak payahlah ambil kesempatan, buat tuduhan melulu dan sebagainya. Hentikanlah.
“Tidak akan saya nak runtuhkan kerajaan yang telah saya perjuangkan selama ini?. Saya gembira hasrat memastikan BN memimpin semula Negeri Sembilan sudah tercapai. Itu matlamat utama saya,” katanya.
Beliau berkata, selepas kerajaan baharu dibentuk, semua pihak sepatutnya memberi tumpuan kepada tugas masing-masing dan memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar.
Jalaluddin sekali lagi turut menegaskan bahawa beliau menerima dengan hati terbuka tidak dilantik sebagai Menteri Besar dan meminta semua pihak memberi sokongan penuh kepada Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar baharu.
“Apa yang paling penting, saya akan berusaha berkhidmat sebaik mungkin kepada penduduk DUN Pertang selepas mereka sekali lagi memberi mandat kepada saya sebagai wakil rakyat,” katanya.






