RCI Tabung Haji: SPRM sambung ambil keterangan bekas CFO hari keempat esok

KETERANGAN bekas ketua pegawai kewangan (CFO) sebuah syarikat milik badan berkanun bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa pembelian saham dua buah syarikat perladangan bernilai kira-kira RM370 juta akan disambung di hari keempat esok.

Keterangan itu bagi membantu siasatan susulan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) yang telah didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 29 Julai lalu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merekod keterangan bekas CFO itu lebih tujuh jam pada hari ketiga hari ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, bekas pegawai kanan tersebut tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya sekitar jam 10 pagi.

“Rakaman percakapan beliau pada hari ketiga (Khamis) telah selesai kira-kira jam 5.30 petang.

“SPRM akan sambung rakam keterangannya pada esok untuk hari keempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) dan bekas CFO syarikat milik badan berkanun yang disyaki telah menyalah guna kuasa dalam proses pembelian saham dua buah syarikat perladangan bernilai RM370 juta ditahan kelmarin.

Kedua-dua mereka berusia 68 dan 60 tahun telah ditahan semasa hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira jam 6.30 petang.

Namun, kedua mereka telah dibebaskan malam itu (Selasa) atas faktor kesihatan.

Bagaimanapun, pada hari kedua iaitu semalam, hanya bekas CFO hadir untuk diambil keterangan, manakala bekas CEO tidak dapat hadir atas faktor kesihatan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img