KERAJAAN tidak menafikan wujud tekanan kos sara hidup dan kenaikan harga barang, namun langkah menanganinya perlu dilaksanakan secara bijak dan bersasar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tidak semua permasalahan dapat ditangani sepenuhnya memandangkan kekangan kewangan negara, terutama dalam situasi global yang tidak menentu.
“Apakah saya nafikan bahawa ada permasalahan dari segi kos sara hidup dan harga barang? Saya tak nafikan. Apakah ia harus ditangani dengan bijak? Ya. Apakah mampu kita bantu? Saya jawab sebahagiannya ya, tak mampu kita bantu semua.
“Dia kata tiap minggu ada kenaikan sedikit. Jadi kalau (berlaku kenaikan) tiga minggu sedikit demi sedikit, kedai itu akan terkesan. Jadi apa yang saya dengar daripada kakak ini, kedai kecil tentunya memberi kesan. Itu pada hari Jumaat. Jadi hari Rabu Mesyuarat Jemaah Menteri, saya akan bawa kes ini,” katanya semasa berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di Putrajaya hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Joseph Arthur Kurup dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, antara langkah yang diambil termasuk mengekalkan subsidi bahan api seperti RON95, serta memperkenalkan bantuan bersasar seperti inisiatif Budi MADANI bagi membantu golongan terkesan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kos subsidi yang tinggi menjadi cabaran besar kepada kerajaan, sekali gus memerlukan penyesuaian dasar dari semasa ke semasa.
Perdana Menteri berkata, pendekatan kerajaan kini dalam mendepani cabaran berkenaan lebih tertumpu kepada penyasaran bantuan bagi memastikan golongan yang benar-benar memerlukan terus dilindungi.
Kerajaan juga akan terus memantau harga barangan serta mendapatkan maklum balas di lapangan bagi memastikan dasar yang dilaksanakan benar-benar berkesan, kata beliau.
Perdana Menteri turut menegur pihak yang mengeluarkan kenyataan tidak berasaskan fakta berhubung laluan kapal minyak di Selat Hormuz, sambil menegaskan situasi sebenar jauh lebih kompleks.
Beliau berkata, terdapat dakwaan termasuk daripada pemimpin tertentu yang menyatakan kapal syarikat negara tidak melalui laluan itu, sedangkan realitinya ia adalah antara laluan penting perdagangan tenaga global.
“Ini kadang-kadang politik di Malaysia … dia tak kira fakta, dia tak kira benar … tidak pernah tabayyun, tidak pernah menilai kebenaran dan faktanya,” kata beliau.


