Kerajaan tanggung RM5 bilion sebulan untuk subsidi bahan api – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan terpaksa menanggung kos subsidi bahan api negara yang kini mencecah RM5 bilion sebulan susulan ketidaktentuan harga minyak mentah global akibat konflik di rantau Asia Barat.

Perdana Menteri memberitahu, peningkatan mendadak itu jauh melepasi peruntukan kerajaan yang sebelum ini sekitar RM700 juta sebulan ketika pengumuman subsidi Budi MADANI bagi RON95 dilaksanakan.

Beliau berkata, lonjakan kos itu berpunca daripada kenaikan harga global serta peningkatan kos logistik termasuk pengangkutan dan insurans, sekali gus memberi tekanan kepada fiskal negara.

“Kalau harga itu melambung tinggi, ia mungkin mencecah lebih daripada RM6 bilion. Tapi kalau harga setakat sekarang, RM5 bilion sebulan.

“Bayangkan, 10 bulan, RM50 bilion daripada dana kerajaan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di Putrajaya hari ini.

Perdana Menteri bagaimanapun memberi jaminan bekalan minyak dan gas negara kekal mencukupi meskipun berdepan kenaikan harga pasaran dunia.

“Kita bernasib baik, Malaysia antara negara ASEAN yang terjamin bekalan minyak dan gasnya. Semalam Tan Sri Hassan Pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) memberikan maklumat terkini daripada Petronas tentang usaha-usaha kita.

“Oleh kerana kita berbaik dengan Iran, antara negara yang mula diberi laluan ialah Malaysia. Setelah Presiden Iran menghubungi dan memaklumkan kepada saya. Dengan Rusia kita ada hubungan baik.

“Dengan Turkmenistan, Uzbekistan yang kita telah lama mempunyai hubungan baik, turut memberi jaminan. Jadi dari segi bekalan memang mencukupi, tetapi harga meningkat. Ini bukan masalah yang berpunca daripada kita, tetapi yang berlaku dan kini harus kita kawal,” jelasnya.

Untuk rekod, Malaysia mencatatkan antara harga diesel terendah di ASEAN bagi tempoh 30 April hingga 6 Mei 2026, dengan harga bersubsidi RM2.15 seliter.

Berdasarkan perbandingan harga diesel (RM/liter), Singapura merekodkan harga tertinggi iaitu RM12.88 seliter, diikuti Laos (RM8.57), Myanmar (RM7.22) dan Filipina (RM6.46).

Negara lain turut mencatatkan harga lebih tinggi berbanding Malaysia, termasuk Kemboja pada RM5.32 seliter, Thailand (RM4.79), Vietnam (RM4.00) dan Indonesia (RM3.35).

Malaysia berada di kedudukan kedua terendah dengan harga RM2.15 seliter, manakala Brunei mencatatkan harga paling rendah iaitu RM0.96 seliter.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img